arena

Chelsea hanya 'underdog'

Oleh AFP

LONDON: Antonio Conte berkata Chelsea bukan pasukan pilihan ketika bertemu Manchester United dan seteru lamanya, Jose Mourinho di final Piala FA.

Skuad kendalian Conte mara susulan kemenangan 2-0 ke atas Southampton pada aksi separuh akhir, awal pagi tadi sekali gus menempah pertembungan menarik dengan United di Wembley pada 19 Mei ini.

Tetapi Conte tidak percaya Chelsea yang tewas 1-2 oleh Arsenal dan tiba selaku penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) pada final tahun lalu akan diletakkan sebagai pilihan untuk menjulang trofi penuh berprestij itu.

“Final kali ini adalah perlawanan membabitkan dua pasukan yang hebat. Dalam minda saya, saya boleh memberitahu kamu yang (musim lalu) kami bermain sebagai pasukan pilihan menentang Arsenal,” kata Conte.

“Tetapi saya fikir pada musim ini kami hadir sebagai pasukan bukan pilihan. Pada musim lalu, kami tewas di final sekali pun dijangka akan menang.”

Berdasarkan pergeseran membabitkan kedua-dua pengurus itu pada musim ini, tumpuan dijangka akan lebih terarah kepada mereka berbanding pemain ketika perlawanan itu nanti.

Conte sebelum ini melabel Mourinho sebagai ‘lelaki kecil’ yang mempunyai penyakit mental selepas pengurus United itu menggelarkan dirinya ‘badut’ berikutan sikapnya yang penuh bersemangat di tepi padang.

Mourinho juga turut mengaitkan Conte dengan skandal mengatur perlawanan ketika pengurus dari Itali itu sudah pun dibebaskan daripada sebarang pertuduhan yang mengaitkannya dengan isu berkenaan.

Awal minggu ini, Conte turut cuba menaikkan amarah Mourinho dengan menegaskan pengurus dari Portugal itu mengharungi tugasan lebih mudah di Chelsea berbanding dirinya.

Tetapi selepas kemenangan ke atas Southampton, Conte mendakwa dia tidak memiliki sebarang masalah dengan Mourinho.

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 10:23am
d