arena

'Macam nak bersara pun ada'

Oleh Saiful Affendy Sapran

PENJAGA gol skuad hoki lelaki negara, S Kumar menganggap keputusan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang tidak lagi melanjutkan hukuman penggantungan terhadapnya susulan gagal ujian doping umpama mati hidup semula.

Menurut Kumar, perkara itu sentiasa berada di dalam fikirannya sepanjang menjalani hukuman penggantungan sementara selama enam bulan yang berakhir 15 April lalu.

Ini kerana, katanya, dengan usia yang mencecah 38 tahun, dia menjangkakan hanya akan ada dua kemungkinan - terus beraksi atau bersara - jika hukuman yang dikenakan terlalu berat.

“Sudah tentu perkara itu sentiasa ada dalam fikiran saya kerana apa saja yang membabitkan kes doping biasanya sangat ketat. Ada yang dikenakan hukuman 18 bulan dan sehingga dua tahun.

“Pada awalnya saya juga berasakan sama ada boleh membuat penampilan semula atau tidak.

“Tapi setiap kali saya berhubung dengan FIH, maklum balas yang diterima agak positif dan ada peluang untuk saya melakukan penampilan semula.

“Kalau tidak, keputusan paling tepat adalah bersara dan saya akan menumpukan kepada bidang kejurulatihan,” katanya pada sidang media hari ini.

Jelas Kumar, kini dia perlu bekerja keras untuk memastikan dapat kembali memperoleh tempat dalam skuad kebangsaan selepas dua lagi penjaga gol negara, Hafizuddin Othman serta Hairi Abd Rahman turut mempamer aksi cemerlang ketika saingan Piala Sultan Azlan Shah dan Sukan Komanwel Gold Coast.

“Saya tak ada pilihan selain selain perlu bekerja keras untuk kembali mendapatkan semula sentuhan ketika beraksi.

“Sudah empat bulan saya tidak bersama pasukan dengan kali terakhir menjalani latihan bersama-sama adalah pada Disember tahun lalu,” katanya.

Kumar didapati positif menggunakan bahan terlarang sibutramine oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) pada kejohanan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu.

Bagaimanapun, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal hari ini mengesahkan FIH bersetuju hanya mengenakan hukuman penggantungan selama enam bulan sahaja ke atasnya tanpa perlu menghadiri sesi pendengaran.

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 4:23pm
d