arena

Giliran Tok Gajah layan Melaka

Oleh Asrol Awang

SELEPAS layak ke separuh akhir Piala FA, skuad Pahang kembali fokus dalam saingan Liga Super terutama memberi tekanan kepada pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pemain pertahanan, Mohd Faisal Rosli atau Tocang berkata, perbezaan empat mata dengan Harimau Selatan itu memerlukan komitmen lebih tinggi untuk mencatat keputusan lebih baik.

“Prestasi meyakinkan ketika menewaskan JDT 3-0 pada suku akhir kedua Piala FA memberi inspirasi dan suntikan semangat kepada kami.

“Sudah pasti kami mahu meneruskan aksi cemerlang ini dan fokus untuk terus memberi tekanan kepada JDT kerana jurang empat mata yang masih boleh dicabar.

“Saya harap rakan sepasukan dapat menjadikan kejayaan layak ke separuh akhir Piala FA sebagai motivasi,” kata pemain kelahiran Kuala Rompin, Pahang itu.

Ditanya mengenai peluang skuad Tok Gajah meraih tiga mata apabila melayan kunjungan Melaka United di Stadium Darul Makmur Sabtu ini, Mohd Faisal percaya misi itu akan menjadi kenyataan.

Pemain berumur 27 tahun itu berkata, kelebihan beraksi di laman sendiri akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mencatat kemenangan.

“Kami tidak boleh tewas jika mahu mengejar kedudukan JDT dan perlu menang ke atas Melaka United Sabtu ini.

“Tetapi kami tidak boleh memandang mudah keupayaan lawan kerana mereka juga memiliki barisan pemain berpengalaman termasuk bekas pemain Pahang sendiri,” katanya.

Selepas enam perlawanan, Pahang menduduki tangga kedua liga dengan mengutip 11 mata manakala JDT selaku pendahulu liga mengumpul 15 mata.

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 4:38pm
d