arena

'Tak boleh takut dengan Real!'

Oleh AFP

BERLIN: Arjen Robben berkata Bayern Munich tidak boleh menunjukkan ‘rasa takut’ kepada Real Madrid jika mahu mengelak kekalahan kedua berturut-turut di pentas Liga Juara-Juara kepada juara Eropah itu.

Bayern menanti kunjungan Real di Allianz Arena, awal pagi Khamis ini bagi aksi separuh akhir pertama pentas elit Eropah itu  sekali gus mengulangi aksi suku akhir musim lalu.

Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol pada kedua-dua aksi timbal balik pada saingan tahun lalu dan selepas Bayern gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri, Real menang dengan agregat 6-3.

“Tahun lalu kami tidak bermain dengan baik di laman sendiri dan bermain dengan sedikit rasa takut,” kata Robben. “Ia tidak sepatutnya berlaku pada Rabu (awal pagi Khamis) ini.

“Kami sudah bersedia. Mereka juga boleh menjadi lemah dan kami boleh pergi ke perlawanan itu dengan semangat yang tinggi.”

Setahun lalu, Bayern tewas pada aksi pertama 1-2 di Munich sebelum tumbang 2-4 di gelanggang lawan dengan rekod memihak kepada Real yang menang lima perlawanan terakhir bertemu gergasi Jerman itu.

Ketika Real tampak berada di prestasi baik dalam saingan domestik, Bayern yang sudah dinobat juara Jerman memanaskan badan dengan kemenangan 3-0 ke atas Hanover, minggu lalu dengan peledak berbisa, Thomas Mueller dan Robert Lewandowski masing-masing menyumbat gol.

Bayern juga sudah meledak 14 kali dalam tiga perlawanan terakhir dengan Lewandowski dan Mueller masing-masing menjaringkan empat gol.

“Peluang (menentang Real Madrid) nampak bagus,” kata Mueller. “Kami sudah berada di tahap terbaik dan perlawanan ini datang pada masa yang tepat.”

Jupp Heynckes yang mengendali Bayern tiga kejuaraan pada 2013 mahu skuad kendaliannya ke final di Kiev, Ukraine sebelum meletakkan jawatan.

“Kami mempunyai sasaran yang besar sebelum ke final,” kata Heynckes.

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 8:46pm
d