arena

Pemain Kuantan FA boleh cari pasukan lain

Oleh Zulfaizan Mansor

PEMAIN Kuantan FA boleh mencari pasukan lain pada jendela perpindahan kedua yang akan dibuka bermula 14 Mei hingga 10 Jun depan selepas penyertaan skuad itu dalam Liga Malaysia (Liga M) dibatalkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), kelmarin.

Ejen pemain, Effendi Jagan Abdullah menjelaskan berdasarkan kontrak biasa, mana-mana pemain yang tidak dibayar gaji oleh majikannya mempunyai hak untuk mencari pasukan lain.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd bagaimanapun berkata, pemain Kuantan FA perlu mengemukakan surat kepada pengurusan pasukan bagi membatalkan kontrak lama mereka.

“Bagi kes pemain Kuantan FA, mereka sebenarnya masih mempunyai kontrak bersama pasukan itu walaupun MFL sudah menyingkirkan mereka daripada Liga M.

“Namun, jika ikut kontrak biasa, pemain boleh meminta untuk membatalkan kontrak mereka jika pasukan terbabit dibelenggu masalah tunggakan gaji yang lama seperti melebihi tiga atau empat bulan.

“Pemain Kuantan FA hanya membatalkan kontrak mereka dengan mengemukakan surat kepada pihak pengurusan terbabit dan selepas itu mereka bebas mencari pasukan lain.

“Berkenaan isu tunggakan gaji mereka yang sudah sampai ke Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan Persatuan Bolasepak Malaysia, ia sudah menjadi kes lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kelmarin, MFL membatalkan penyertaan Kuantan FA dalam Liga Perdana serta merta selepas melakukan kesalahan besar tidak hadir ke Stadium Shah Alam pada 15 April lalu yang menyaksikan kemenangan percuma 3-0 diberikan kepada PDRM.

Isu tunggakan gaji yang membelenggu skuad berkenaan dikatakan menjadi punca utama pemain dan jurulatih skuad The Seagulls enggan beraksi pada perlawanan ketujuh liga itu.

Malah, PFAM sudah mengemukakan aduan kepada FAM bagi membantu menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain Kuantan FA.

Jika gagal, jalan terakhir untuk kes itu diselesaikan mungkin ia perlu dibawa ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Disiarkan pada: April 23, 2018 @ 9:44pm
d