arena

Otot kaki Chiellini koyak

JUARA Itali Juventus mengesahkan otot kaki pertahanannya Giorgio Chiellini terkoyak, justeru bakal terlepas aksi menentang Inter Milan hujung minggu ini dan berkemungkinan baki perlawanan musim ini.

Ia memberi tamparan hebat buat juara bertahan enam kali itu selepas Napoli kembali menghidupkan peluang memburu gelaran dengan kemenangan saat akhir 1-0 di Turin kelmarin untuk merapatkan jurang dengan Juventus kepada hanya satu mata.

Juventus kelihatan canggung di Stadium Allianz selepas kehilangan pemain veteran Chiellini, yang juga ketua pasukan dan pertahanan terbaik mereka pada minit terawal.

Pemain berusia 33 tahun itu mengetap giginya dan cuba bermain tetapi terpaksa diusung keluar 10 minit kemudian susulan kecederaan lutut.

“Chiellini menjalani ujian perubatan selepas dikeluarkan pada awal permainan ketika perlawanan menentang Napoli Ahad lalu,” kata Juventus dalam satu kenyataan.

“Susulan pemeriksaan itu, langkah berjaga-jaga diambil bagi menangani isu kecederaan dan didapati Chiellini mengalami koyakan pada otot bicep femoris di lutut kirinya.

“Chiellini yang bakal mengalami pemeriksaan lanjutan, sudah memulakan terapinya.”

Dia akan terlepas aksi ke San Siro Sabtu ini tetapi kempen bekas pemain Itali itu musim ini dilihat mungkin sudah berakhir.

Sebaliknya Napoli yang memburu gelaran ketiga selepas 1987 dan 1990, akan berkunjung ke Fiorentina pada Ahad. - AFP

Disiarkan pada: April 24, 2018 @ 2:24am
d