arena

Hanya Ronaldo selamat

Oleh AFP

CRISTIANO Ronaldo, Gareth Bale dan Karim Benzema pada satu ketika dilabel trio yang tidak boleh disentuh.

Bagaimanapun, hanya seorang daripada gandingan yang diberi gelaran ‘BBC’ itu mampu memastikan tempat dalam kesebelasan utama Real Madrid ketika membuat perhitungan menentang Bayern Munich pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini.

Dianggap antara tonggak yang membawa Real ke peringkat empat terbaik, Ronaldo membuktikan ketajaman di depan gawang apabila meledak 22 gol dalam 12 perlawanan termasuk sekurang-kurangnya satu gol dalam setiap 11 perlawanan di pentas Eropah.

Tetapi ketika bintang Portugal itu menikmati kebangkitan, dua rakan sepasukannya mendapati khidmat dan tanggungjawab mereka dihadkan menjelang aksi pertama di Allianz Arena.

Kemerosotan Bale tampak ketara. Selepas pulih daripada kecederaan awal tahun ini, pemain Wales itu diletakkan di bangku simpanan bagi kedua-dua aksi timbal balik menentang Paris Saint-Germain dan perlawanan pertama suku akhir bertemu Juventus.

Pada perlawanan kedua, dia disenaraikan dalam kesebelasan utama tetapi menempuh detik memalukan apabila dikeluarkan pada babak pertama.

Bagi Benzema, kejatuhan prestasinya lebih mengejutkan selepas pengurus, Zinedine Zidane meletakkannya sebagai gandingan ‘utama’ buat Ronaldo dan di sebalik usaha kerasnya, ketandusan jaringan agak membimbangkan apabila hanya menjaringkan satu gol dalam 10 perlawanan.

“Dia (Benzema) bergelut sedikit, apabila dia melepaskan peluang, dia kecewa tetapi jalan penyelesaiannya adalah mudah,” kata Zidane.

“Dia perlu terus bekerja keras. Dia hanya mengalami sedikit kejatuhan prestasi ketika ini.

“Saya tidak dapat melihat sesiapapun sedang bersedih. Saya berkata kepada gandingan mereka sebelum ini, mereka gemar untuk menjaringkan lebih banyak gol tetapi semua orang bermain dengan baik.

“Ia sentiasa berlaku kepada pasukan seperti kami, ada pemain berada di prestasi yang bagus di dalam pasukan dan bermain dengan baik.”

Mengulas pertembungan dengan Bayern, Zidane mengakui dia tidak begitu bimbang.

“Memang benar pada dua perlawanan sebelum ini kami memperoleh peluang dan kami tidak mengambilnya tetapi kini kami akan mengharungi perlawanan pada Rabu (awal pagi Khamis) jauh dari gelanggang sendiri.

“Kami akan cuba untuk menjaringkan gol dan apa yang perlu kami lakukan adalah berfikir dengan positif dan sedar dalam bola sepak apa saja boleh berlaku tidak kira siapapun bermain di atas padang.”

Disiarkan pada: April 24, 2018 @ 12:41pm
d