arena

Rossi 'goyang' dengan Marquez

Oleh Agensi

LONDON: Valentino Rossi meluahkan kebimbangan terhadap persembahan cemerlang pasukan Honda selepas Marc Marquez meraih kemenangan kedua berturut-turut MotoGP di Austin.

Marquez merangkul gelaran keenam berturut-turut di Grand Prix (GP) Amerika, kelmarin manakala penunggang Yamaha, Rossi sekadar berpuas hati di tempat keempat.

Rossi mengakui keadaan itu mencetuskan kebimbangan, tetapi kekal positif bahawa Yamaha memberi saingan sengit di Austin, dengan rakan sepasukannya, Maverick Vinales menamatkan perlumbaan di belakang Marquez.

“Ia membimbangkan, kerana mereka sangat hebat terutama jenteranya sentiasa berada dalam keadaan yang cukup baik,” kata Rossi merujuk kepada Honda. “Tapi kami menamatkan perlumbaan dalam kelompok empat teratas.”

“Sekarang, penting untuk melihat bagaimana kami mampu bangkit di Jerez, kerana pada tahun lalu apabila kembali ke Eropah, pada trek yang berbeza, cengkaman berbeza, kami berdepan banyak masalah.

“Tahun ini, saya harap kami dapat memberi saingan lebih sengit di litar seperti Jerez dan Barcelona.”

Rossi berkata, sasarannya di Austin adalah untuk menamatkan perlumbaan di podium selepas memulakan perlumbaan di petak kelima, tetapi masalah tayar hadapan menghalangnya untuk mengatasi Vinales dan pelumba Suzuki, Andrea Iannone.

“Saya sedar perlu lebih pantas untuk merebut tempat di podium kerana itu memang sasaran saya. Malangnya, saya bergelut untuk melakukannya terutama dengan masalah tayar hadapan.

“Saya tidak menghadapi masalah pada sesi latihan, tetapi pada hari perlumbaan, saya gagal melakukan yang terbaik termasuk di selekoh,” katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2018 @ 5:16pm
d