arena

Ranjau nanti Nicol di Terbuka British

Oleh Fadhli Ishak

RATU skuasy negara, Datuk Nicol David bakal berdepan laluan sukar pada saingan Terbuka British bulan depan.

Nicol yang diletakkan selaku pilihan kesembilan akan bertemu pemain yang menduduki ranking ke-20 dunia, Mariam Metwally dari Mesir dan kemungkinan besar bakal bertemu pemenang edisi 2015, Camille Serme dari Perancis di pusingan kedua.

Atlet negara berasal dari Pulau Pinang itu, menewaskan Serme pada suku akhir Terbuka British tahun lalu tetapi tewas sebanyak dua kali kepada lawan sama selepas itu.

Nicol juga dilihat bakal berdepan tugas sukar sekiranya mara ke suku akhir apabila dia dijangka bertemu pemenang pingat emas Sukan Komanwel, Joelle King dari New Zealand atau Tesni Evans (Wales).

Kedua-dua pemain itu menewaskan Nicol ketika Sukan Komanwel di Gold Coast, baru-baru ini.

Pengarah Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S Maniam berkata, Nicol perlu beraksi pada tahap terbaiknya.

Nicol yang tewas kepada wakil India, Joshna Chinappa di pusingan kedua Kejohanan Skuasy Antarabangsa Terbuka El Gouna di Mesir Ahad lalu, tidak akan menyertai mana-mana kejohanan sehinggalah ke Terbuka British.

“Kekalahan kepada Joshua di El Gouna agak mengejutkan tetapi saya percaya Nicol akan bangkit semula dengan mempamerkan aksi lebih baik di Terbuka British bertemu Metwally,” kata Maniam.

“Bagaimanapun semua perlu faham dia akan bertemu lawan lebih muda yang pastinya lebih lincah. Nicol perlu berada pada prestasi terbaik untuk bertemu lawannya itu. Saya berharap dia dapat memberi fokus kepada setiap perlawanan.”

Maniam berkata, Ng Eain Yow, Nafiizwan Adnan, Ivan Yuen dan S Sivasangari yang gagal beraksi di undian utama, akan beraksi pada pusingan kelayakan.

“Saya belum melihat lagi undian untuk pusingan kelayakan. Tapi setiap pemain negara pastinya cukup bersemangat selepas beraksi dengan baik di Sukan Komanwel,” katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2018 @ 8:57pm
d