arena

Hua Wei memukau

Oleh Mohd Khairie Khalid

Kuala Lumpur: Permulaan musim yang memberangsangkan dalam acara solo menjelmakan keyakinan buat atlet renang berirama, Gan Hua Wei untuk terus menyerlah menjelang Siri Dunia Renang Berirama FINA 2018 di Tokyo, bermula Jumaat ini.

Hua Wei membuktikan kemampuannya apabila memenangi pingat perak dalam rutin solo teknikal dengan kutipan 73.5892 mata, selain gangsa menerusi rutin solo bebas (78.5000 mata) dalam Siri Dunia Renang Berirama FINA 2018 di Beijing, China, Ahad lalu.

“Saya berpuas hati dengan persembahan solo saya di China. Ini juga pencapaian terbaik saya, memiliki markah yang paling bagus dalam Siri Dunia ketika mula menyertainya tahun lalu.

“Walaupun saya berpuas hati dengan persembahan, tetapi saya perlu melakukan yang lebih baik seperti menambah tahap kesukaran ketika beraksi.

“Ini kerana saya meletakkan sasaran untuk layak ke final dalam rutin solo pada siri seterusnya di Jepun,” kata Hua Wei, 19, ketika mengulas mengenai pencapaiannya di China, semalam.

Mengulas lanjut, atlet kelahiran Negeri Sembilan itu berkata, dia beraksi bersama pasangan baru iaitu Foong Yan Nie dalam aksi duet, tetapi mengakui banyak perkara perlu diperbaiki termasuklah memastikan rentak mereka seirama.

“Saya harap dapat markah melebihi 70 mata dalam acara duet di Jepun,” katanya.

Untuk rekod, Hua Wei yang mula berkecimpung dalam sukan ini sejak berusia tujuh tahun adalah pemenang dua emas dan satu perak di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 2:48am
d