arena

Costa kembali hantui Arsenal

Oleh Agensi

DIEGO Costa yang dilabel ‘pemusnah’ Arsenal disenaraikan dalam skuad Atletico Madrid ketika membuat kunjungan ke Emirates bagi aksi separuh akhir pertama Liga Europa, awal pagi Jumaat ini.

Sekalipun kemungkinan tidak akan bermain dalam perlawanan itu susulan kecederaan, peledak berbisa itu berada dalam senarai 20 pemain yang dikemukakan pengurus Atletico, Diego Simeone bagi pertembungan itu.

Costa mengalami kecederaan hamstring ketika Atletico mengatasi Sporting Lisbon pada suku akhir Liga Europa.

“Doktor akan sentiasa memberitahu perkembangannya kepada kami, tapi saya fikir dia mungkin tidak akan bermain pada Khamis (awal pagi Jumaat) ini,” kata Simeone.

“Dia akan kembali pada perlawanan kedua, tapi saya tidak fikir dia berpeluang (bermain) pada aksi pertama.”

Penyerang berusia 29 tahun itu kembali ke kelab lamanya, Atletico Januari lalu selepas ‘dibekukan’ oleh pengurus Chelsea, Antonio Conte.

Begitupun, penyerang Sepanyol itu mengharungi kempen yang agak mengecewakan selepas itu apabila dipalit isu kecergasan dan gagal menjaringkan gol buat kelabnya sejak Atletico menewaskan Lokomotiv Moscow pada Mac lalu.

Ketika di Chelsea, Costa sering menjadi pemusnah buat Arsenal dengan tindakannya menyaksikan dua pemain Gunners dibuang padang ketika kempen 2015-16.

Tanpa Costa, Fernando Torres dijangka akan mengemudi jentera serangan Atletico yang sudah kehilangan dua pertahanan berpengalaman, Juanfran dan Filipe Luis bagi aksi di Emirates.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 2:27pm
d