arena

Zaquan tahu 'lubuk' Bos Gaurus

Oleh Rodly Fadly

PENGALAMAN Zaquan Adha Radzak mewakili Perak selama semusim menjadi senjata berguna buat Kuala Lumpur untuk berdepan lawannya itu pada aksi Liga Super di Ipoh, Ahad ini.

Menurut Zaquan, walaupun hanya semusim menyarung jersi The Bos Gaurus, namun dia cukup masak dengan kemampuan pasukan itu apatah lagi ia masih dibimbing oleh Mehmet Durakovic serta mengekalkan hampir keseluruhan pemain musim lalu.

“Saya sebenarnya amat teruja menanti perlawanan ini. Tiada masalah peribadi antara saya dengan mereka, cuma berdepan pasukan yang pernah diwakili menjadikan ia satu perlawanan istimewa buat saya.

“Secara peribadi matlamat saya adalah membantu KL membawa pulang tiga mata. Lebih istimewa jika saya dapat menjaringkan gol.

“Saya tahu kekuatan, juga kelemahan Perak. Ini sedikit sebanyak bukan saja dapat membantu saya berdepan mereka malah rahsia itu boleh saya kongsi dengan rakan sepasukan bagaimana cara menangani pasukan itu,” kata Zaquan.

Bagaimanapun Zaquan yakin, jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel tidak akan bergantung sepenuhnya kepada panduan yang diberikan sebaliknya turut mempunyai muslihat tersendiri untuk memerangkap lawan.

Zaquan menyifatkan perlawanan itu ibarat pertempuran antara dua singa terluka ekoran kegagalan kedua-dua pasukan mara ke separuh akhir Piala FA.

“Tidak dinafikan kami amat kecewa apabila tewas menerusi sepakan penalti kepada Selangor selepas melakukan kebangkitan. Tapi, kami sudah lupakan kegagalan itu dan kini memandang ke depan.

“Semangat kami sudah pulih, jadi kemenangan ke atas Perak amat penting bagi meningkatkan lagi keyakinan serta moral pemain.

“Begitupun ia perlawanan yang sukar kerana Perak juga pasti mahu menebus kekecewaan ekoran kegagalan dalam Piala FA,” katanya.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 6:32pm
d