arena

Peluang cerah ke Piala Dunia B-17

Oleh Firdaus Hashim

SKUAD negara kendalian Lim Teong Kim dijangka menerima laluan mudah pada majlis undian Kejohanan B-16 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) esok apabila diletakkan dalam balang satu bersama Korea Utara, Iran dan juara bertahan Iraq.

Malah, elemen kejutan mungkin boleh berlaku pada undian itu dengan kemungkinan empat pasukan Asia Tenggara berada dalam kumpulan sama selepas Vietnam, Thailand dan Indonesia diletakkan dalam balang dua, tiga dan empat.

Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar berkata, beliau tidak menolak kemungkinan situasi itu mampu berlaku dan menganggap ia peluang terbaik buat skuad B-16 negara melepasi peringkat kumpulan Kejohanan AFC di Kuala Lumpur, September depan.

Menurut Safirul, pemain B-16 yang semuanya dari produk NFDP diletakkan sasaran untuk mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir.

“Kalau ikut balang undian itu, Malaysia akan berada dalam balang satu sebagai tuan rumah dengan Iran, Korea Utara dan Iraq. Itu bermakna kita dapat elak untuk bertemu Iraq dan Korea Utara yang sudah tentunya hadir selaku pasukan pilihan.

“Bagaimanapun, tentangan sukar tetap akan hadir dari Korea Selatan, Korea Utara atau Australia. Sebab itu kita kena perbaiki tahap fokus yang mana saingan peringkat domestik dan antarabangsa cukup berbeza dengan kita akan dihukum jika melakukan kesilapan mudah.

“Namun, agak menarik juga sekiranya Malaysia diundi sekumpulan dengan tiga pasukan serantau. Kemungkinan itu ada, kalau tak semua Asia Tenggara pun mungkin akan ada satu atau dua dalam kumpulan kita nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebanyak 16 pasukan akan berentap untuk mengejar gelaran juara dengan empat pasukan terbaik akan meraih slot automatik ke Piala Dunia Remaja B-17 di Peru tahun depan.

Pencapaian terbaik skuad negara adalah pada 2014 di Bangkok apabila anak buah S Balachandran hampir melakar sejarah layak ke Piala Dunia sebelum tumbang 1-2 di tangan Australia pada suku akhir.

“Apa yang saya nampak selama empat tahun bersama pemain, tidak mustahil pasukan mampu layak ke separuh akhir. Malah, tidak mustahil juga kita mampu masuk ke final dan muncul juara.

“Tapi kadangkala, kita tetap harapkan tuah dapat mengiringi pasukan. Berani saya katakan, tahap pemain kita sebenarnya dalam empat terbaik di Asia,” katanya.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 8:35pm
d