arena

Latiff tak sabar pacu TFC

Oleh Malik Muhamad

ARKITEK Terengganu FC (TFC), Abdul Latiff Suhaimi sedia menggalas tugas sebagai ketua pasukan selepas kapten, Kipre Tchetche tidak dapat beraksi kerana mengalami kecederaan paha.

Malah bekas kapten skuad Penyu musim lalu itu juga mengakui corak permainannya kini lebih meyakinkan terutama selepas berjaya membantu pasukannya menang 3-0 ke atas Melaka United (MU) 13 April lalu.

“Siapa yang bakal memikul tugas sebagai kapten bukan persoalan utama dalam pasukan selepas ketiadaan Tchetche kerana yang lebih penting kami perlu meneruskan rentak kemenangan bertemu Kedah Jumaat ini,” kata pemain kelahiran Kelantan itu.

“Namun jika diberi peranan sebagai kapten saya sedia memikul amanah berkenaan sebaik mungkin sebagaimana harapan pasukan yang mahukan kemenangan, tapi terpulang kepada barisan jurulatih untuk memilihnya.”

Terengganu yang kini menghuni tangga ketiga liga dengan 11 mata bakal melayan kunjungan skuad Helang Merah Jumaat ini di Stadium Sultan Ismail Nasirudddin Shah dalam aksi ketujuh Liga Super.

Bercakap mengenai pertukaran posisinya yang sebelum ini beraksi di jentera tengah dan kini bermain di bahagian pertahanan, bekas pemain kebangsaan itu mengakui dia tidak kekok beraksi di posisi baharu itu.

Malah bekas pemain pasukan kebangsaan itu tanpa berselindung menyatakan dia mampu memperagakan aksi dengan lebih baik dan selesa walaupun bukan posisi kegemarannya kerana sebelum ini pernah bermain di bahagian berkenaan.

“Bagi saya tidak ada masalah beraksi di posisi pertahanan dan tidak kekok kerana sebagai pemain profesional kita perlu sentiasa bersedia dan menerima jawatan baharu itu dengan penuh komitmen.

“Tambahan pula saya pernah bermain pada peringkat tertinggi di posisi itu ketika mewakili pasukan PDRM dalam saingan Piala Malaysia pada tahun 2016 sekali gus menguatkan lagi keazaman saya untuk mempertahankan benteng pasukan.

“Ketika mewakili skuad kebangsaan saya juga turut berlatih di posisi pertahanan dan jika ditugaskan sekali lagi mengawal kubu pasukan Jumaat ini saya akan bermain dengan cemerlang dan memperbaiki apa yang kurang,” kata pemain berusia 29 tahun itu yang pernah menyarung jersi pasukan Kedah pada tahun 2012 dengan enam gol berjaya disumbangkan.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 10:17pm
d