arena

Lupakan emas Incheon: Syakilla

Oleh

ATLET karate negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan tidak menganggap pingat emas yang dimenanginya pada Sukan Asia 2014 di Incheon sebagai satu kelebihan buat dirinya pada temasya di Indonesia Ogos ini.

Syakilla, 26, akan bertanding dalam acara kumite bawah 55 kilogram (kg) wanita berbanding kategori bawah 61kg yang dimenanginya di Incheon empat tahun lalu.

“Dalam kategori ini (bawah 55kg), persaingan lagi susah berbanding Sukan Asia 2014 dahulu. Kategori ini adalah kategori pertama yang dipertandingkan pada Sukan Olimpik 2020 nanti dan ramai juga atlet lain yang sebelum ini menyertai kategori bawah 61kg menyertai kategori bawah 55kg seperti saya,” katanya.

Menurut Syakilla, atlet dari Taiwan, Jepun, Iran dan Kazakhstan bakal memberi tentangan sengit pada temasya yang akan berlangsung pada 18 Ogos-22 September itu.

“Saya memang meletakkan sasaran untuk sekali lagi mengekalkan pingat emas di Sukan Asia dan akan berusaha keras untuk memenanginya,” katanya.

Pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, Syakilla memenangi pingat emas dalam kategori barunya bawah 55kg dan berjaya memenangi gangsa pada Liga Perdana Karate 1 (K1) di Rabat, Maghribi pada awal bulan ini.

Syakila berkata dia akan menyertai K1 di Istanbul, Turki pada 8-10 Jun ini dan kemudiannya turut serta pada K1 di Berlin, Jerman pada 14-16 September ini.

“Di antara K1 itu nanti, saya juga akan cuba melihat persembahan saya pada Kejohanan Karate Senior Asia di Jordan (10-15 Julai),” katanya.

Atlet itu berkata dia berharap kecederaan tidak akan menghantuinya semula dalam misinya untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo yang akan menyaksikan karate dipertandingkan buat kali pertama.

Pada 2014, Syakilla dibelenggu kecederaan pangkal paha namun berjaya menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negara pada Sukan Asia di Incheon.

Disiarkan pada: April 25, 2018 @ 10:26pm
d