arena

Oxlade-Chamberlain 'kempunan' lagi

PEMAIN tengah England Alex Oxlade-Chamberlain bakal terlepas aksi Piala Dunia di Russia selepas mengalami kecederaan ligamen lutut ketika beraksi bersama Liverpool menentang AS Roma dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi semalam.

Pemain berusia 24 itu diusung keluar selepas berlanggar dengan pertahanan Roma Aleksandar Kolarov pada separuh masa pertama perlawanan yang menyaksikan Liverpool menang 5-2 dalam aksi separuh akhir pertama di Anfield.

"Liverpool FC boleh mengesahkan kempen Alex Oxlade-Chamberlain di kelab dan negaranya bagi musim 2017-18 sudah berakhir susulan kecederaan ligamen lutut yang dialami ketika menentang AS Roma pada petang Selasa,” menurut kelab Liga Perdana itu dalam satu kenyataan.

“Tahap kecederaan itu bermakna  Oxlade-Chamberlain akan terlepas baki kempen Liverpool musim ini, begitu juga Piala Dunia di Russia bersama England.”

Piala Dunia 2018 adalah kejohanan antarabangsa ketiga tidak dapat disertai Oxlade-Chamberlain susulan kecederaan lutut.

Pemain tengah itu yang berpindah dari Arsenal ke Liverpool pada awal musim, terlepas aksi Piala Dunia 2014 selepas mengalami kecederaan dalam aksi pemanas badan bersama England.

Dia juga tidak beraksi di Kejuaraan Eropah 2016 akibat kecederaan sama. - Reuters

 

 

Disiarkan pada: April 26, 2018 @ 3:28am
d