arena

Heynckes berang pemain lepas peluang

MUNICH: Pengurus Bayern Munich, Jupp Heynckes berang dengan deretan peluang yang disia-siakan skuad kendaliannya sebelum tewas 1-2 kepada Real Madrid dalam aksi pertama separuh akhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Pada aksi di Allianz Arena itu, Bayern memperoleh permulaan sempurna apabila mendahului menerusi jaringan Joshua Kimmich pada minit ke-28.

Begitupun, kelebihan itu dipadamkan oleh Marcelo seminit sebelum babak pertama berakhir dengan jaringan kemenangan Real disumbat oleh pemain gantian, Marco Asensio pada minit ke-57.

“Ia perlawanan yang aneh, kami memperoleh banyak peluang tetapi tidak memanfaatkannya, jadi tidak hairan kami tewas,” kata Heynckes.

“Saya tidak menuduh sesiapapun, tetapi pertahanan kami beraksi dengan buruk untuk jaringan yang mereka lepaskan, kami memberikannya kepada mereka.

“Pasukan mana yang memperoleh begitu banyak peluang menentang Real dan tidak menggunakannya? Tetapi, tiada apa yang kami bimbangkan di Madrid dan kami akan pergi ke sana dengan semangat yang tinggi.”

Kapten Bayern, Thomas Mueller mengakui keputusan tidak memihak kepada tuan rumah tetapi dia dan rakan sepasukannya tidak akan mengalah.

“Madrid adalah Madrid, kami dapat lihat mereka cukup tenang untuk memanfaatkan peluang,” kata Mueller. 

“Kami memerlukan mentaliti yang berbeza di depan pintu gol, sesuatu yang amat berbeza mengikut pendapat saya.,” katanya sambil menambah kemenangan 2-1 Bayern ke atas Real dalam perlawanan kedua suku akhir tahun lalu di Madrid sebelum kelabnya tewas 3-6 secara agregat memberikan mereka harapan.

Tetapi menambah derita Bayern, gergasi Jerman itu kehilangan dua tonggak iaitu Arjen Robben dan Jerome Boateng bagi aksi di Madrid.

Kedua-dua pemain mengalami kecederaan kaki pada separuh masa permainan dan akan melalui ujian susulan, petang ini. - AFP

Disiarkan pada: April 26, 2018 @ 10:36am
d