arena

Dhabitah congak startegi terbaik

Oleh Aida Adilah Mat

PENERJUN negara, Nur Dhabitah Sabri kini mula mencongak strategi terbaik untuk terus menyerlah dalam acara terjun.

Selepas meraih dua pingat gangsa pada Sukan Komanwel sulungnya, Dhabitah sedar masih banyak yang perlu dipelajari.

Biarpun ramai mempertikaikan kemampuannya dan ada segelintir memberi komen kurang memberangsangkan namun bagi penerjun berusia 18 tahun itu dia sudah memberikan yang terbaik.

“Saya berpuas hati dengan apa yang saya capai di Komanwel.

“Biarlah apa orang nak kata, sama ada mereka kata saya tidak melakukan terjunan terbaik, itu bermakna mereka tidak tahu apa yang saya buat.

“Saya gembira dan berpuas hati dengan prestasi saya dan Alhamdulillah saya pulang dengan dua pingat gangsa biarpun sebenarnya kalau boleh nak lagi tapi gangsa pun saya bersyukur,” katanya.

Dhabitah cemerlang menyumbang gangsa dalam acara 3m papan anjal seirama dan 10m platform seirama bergandingan dengan penerjun berpengalaman Leong Mun Yee.

Mengulas mengenai sasarannya selepas ini, dia yang meraih emas dalam acara 3m papan anjal pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 berkata, fokus utamanya adalah kejohanan terjun Siri Dunia di Montreal, Kanada dari 27 hingga 29 April ini selain Piala Dunia di Wuhan, China dari 5 hingga 10 Jun ini.

“Fokus saya dua kejohanan itu terlebih dulu sebelum fikirkan Sukan Asia. Ia penting kerana pesaing utama seperti penerjun China, Jepun, Korea Utara dan Korea Selatan turut beraksi pada kejohanan itu.

“Jadi saya kena bekerja keras lagi untuk bertanding dengan mereka dan selepas itu barulah saya fikirkan Sukan Asia pula,” katanya.

Disiarkan pada: April 26, 2018 @ 2:02pm
d