arena

Reds enggan bolos lewat lagi

Oleh Reuters

STOKE City berharap Liverpool yang akan ditemui mereka Sabtu ini adalah pasukan yang bergelut dalam 10 minit terakhir separuh akhir Liga Juara-Juara menentang AS Roma, bukannya pasukan yang membenam kelab Itali itu dalam 80 minit pertama.

Tiada apa yang jelas dengan pasukan kendalian Juergen Klopp yang menyesali diri sendiri selepas wisel penamat di Anfield awal pagi kelmarin di sebalik berakhir sebagai pemenang aksi pertama 5-2.

Liverpool turut melepaskan dua gol lewat pada perlawanan terakhir liga di West Bromwich Albion sekali gus membuktikan tidak kira magis yang dipamerkan Mohamed Salah, masih ada harapan menentang mereka jika anda terus menekan.

Sekurang-kurangnya ia menjadi topik utama buat pengurus Stoke, Paul Lambert ketika beliau berdepan tugas getir meraih kemenangan di tempat lawan dalam usaha mengelak tersingkir ke liga bawahan.

Empat mata daripada zon selamat dengan berbaki tiga perlawanan, Stoke mungkin turun divisyen jika mereka tewas dan Swansea City mengalahkan Chelsea, yang masih berharap menafikan Liverpool penamat empat teratas.

Ia sepatutnya menjadi motivasi buat Liverpool untuk memastikan mereka tidak melakukan kesilapan sekali lagi sekalipun Klopp berdepan tugas sukar memutuskan kesebelasan utamanya selepas kecederaan menyaksikan hanya tiga pemain tengah cergas.

Malah ia mungkin bukan masalah besar jika Salah meneruskan prestasi semasanya ketika dia memburu lima gol diperlukan untuk mengatasi rekod kelab milik Ian Rush 47 gol semusim.

Juara Manchester City juga berminat untuk melakar rekod di West Ham United, Ahad ini. City memerlukan hanya enam gol lagi dan dua kemenangan daripada empat aksi terakhir untuk mencatat rekod baru jaringan dan mata keseluruhan Liga Perdana Inggeris, kedua-duanya dilihat mampu dicapai mereka.

Namun sebagai satu daripada 11 pasukan masih bergelut mengelak penyingkiran, West Ham mempunyai setiap insentif untuk berjuang. Hammers berada enam mata di atas zon penyingkiran, yang dihuni Southampton, Stoke dan West Brom, yang mesti menewaskan Newcastle untuk menghidupkan peluang.

Pengurus Saints, Mark Hughes tidak pernah turun divisyen sebagai pengurus mahupun pemain namun selepas turut mengendalikan Stoke musim ini, beliau mungkin memecah rekodnya sendiri dengan membantu dua pasukan turun divisyen dalam satu kempen.

Hanya kemenangan diperlukan Sabtu ini di laman sendiri menentang pasukan jiran Bournemouth, yang mungkin hanya memerlukan satu mata untuk terselamat. 

Masa sudah berlalu apabila aksi Manchester United menentang Arsenal menjadi penentu kejuaraan namun Ahad ini paling menarik untuk disaksikan sama ada Jose Mourinho menurunkan Alexis Sanchez menentang bekas kelabnya ketika United berusaha untuk mengekalkan kedudukan di tangga kedua.

Tottenham Hotspur, yang tewas kepada mereka pada separuh akhir Piala FA hujung minggu lalu, akan menentang Watford awal pagi Selasa ini. Seperti Liverpool, Spurs perlu meneruskan momentum mereka jika mahu kekal dalam empat teratas.

Disiarkan pada: April 26, 2018 @ 2:43pm
d