arena

Guardiola pancing Halter, Iniesta

Oleh Agensi

PEP Guardiola dilaporkan sedang mengintai untuk membawa pemain muda sensasi Brazil, Lucas Halter ke Manchester City.

Selain City yang mengesahkan kejuaraan Inggeris bulan ini, Halter yang berusia 18 tahun bulan depan, juga sedang diperhatikan kelab Sepanyol, Atletico Madrid dan kelab Itali, AS Roma.

Begitupun, City dijangka lebih berpeluang untuk mendapatkan tandatangannya yang sebelum ini menyinar ketika mewakili Brazil pada kempen Piala Dunia Bawah 17 tahun.

Halter bermain ketika pasukannya tewas 1-3 kepada juara, England pada separuh akhir tetapi akhbar di England melaporkan dia mungkin sedang menuju ke akademi City.

City ketika ini digantung daripada mendapatkan khidmat pemain akademi di bawah usia 18 tahun daripada kelab Liga Perdana Inggeris hingga 30 Jun depan.

Pengurus City, Guardiola sebelum ini sudah membawa masuk beberapa pemain dari Brazil antaranya penjaga gol, Ederson, penyerang Gabriel Jesus dan pemain serba boleh, Danilo dalam tempoh 16 bulan.

Sementara itu, satu lagi nama yang kuat dikaitkan dengan perpindahan ke Etihad adalah legenda Barcelona, Andres Iniesta dengan Guardiola dikatakan berminat mendapatkan bekas pemainnya itu.

Berdasarkan laporan di Sepanyol, Guardiola akan cuba menggunakan hubungannya dengan Iniesta untuk membawa perancang tengah itu ke City ketika kontraknya bersama kelab gergasi Catalan itu berakhir musim ini.

Iniesta, 33, sudah membuat lebih 700 penampilan bersama Barcelona.

Disiarkan pada: April 26, 2018 @ 3:02pm
d