arena

Khairy belum terima laporan

Oleh Shahrinnahar Latib

"SAYA belum menerima apa-apa laporan," kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika diminta mengulas mengenai isu atlet Sukan Komanwel Gold Coast 2018 yang dikatakan positif ujian doping.

Khairy yang ditemui media pada Majlis Perasmian Fasa 2 Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), di sini bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan. 

Selasa lalu, arena sukan tanah air digemparkan dengan seorang atlet negara yang beraksi di temasya kedua terbesar dunia itu dilaporkan positif ujian doping. 

Lebih mengejutkan, atlet itu dikatakan penyumbang pingat gangsa dan andainya didapati positif kemungkinan besar pingat itu akan ditarik balik. 

Berdasarkan rekod pencapaian atlet di Gold Coast, Malaysia meraih 12 pingat gangsa. Atlet yang meraih pingat gangsa adalah Afiq Ali Hanafiah (para T12 100m lelaki), Goh V Shem-Tan Wee Kiong (badminton beregu lelaki), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (badminton beregu campuran).

Selain itu turut meraih gangsa ialah Leong Mun Yee-Nur Dhabitah Sabri (terjun 3m papan anjal seirama dan 10m platform seirama wanita), Amy Kwan (gimrama gelung, individu keseluruhan), Koi Sie Yan (gimrama riben), Alia Sazana Azahari (menembak 25m pistol wanita), Nafiizwan Adnan (skuasy perseorangan lelaki), Ho Ying-Karen Lyne (pingpong beregu wanita) dan Fazrul Azrie Mohdad (angkat berat 85kg lelaki).

Sementara itu, Khairy berkata, fasa kedua AMD itu adalah pembinaan bangunan yang menempatkan asrama pelatih, pusat pentadbiran dan beberapa kemudahan lain menerusi peruntukan sebanyak RM85 juta.

"Asrama ini sudah menempatkan pelatih sejak dua minggu lalu dan buat permulaan seramai 185 pelatih sudah ditempatkan di situ.

"Bagaimanapun, asrama ini mampu menempatkan seramai 375 pelatih. Pelatih yang ditempatkan di sini terdiri daripada tingkatan satu hingga empat," katanya. 

Beliau berkata, AMD bertaraf lima bintang itu bakal menjadi pusat pemain muda terbaik dari pelosok negara menimba ilmu bola sepak. 

"Akademi ini adalah wajah masa hadapan bola sepak negara dan satu-satunya akademi bakat seumpamanya di rantau Asia Tenggara," katanya.

Disiarkan pada: April 27, 2018 @ 12:00am
d