arena

McLaren pecat pengarah teknikal

BAKU: McLaren terpaksa mengetepikan pengarah teknikalnya Tim Goss selepas jentera baharu pasukan Formula Satu (F1) berkenaan gagal mencapai prestasi memberangsangkan ketika sesi perlumbaan di awal musim baru-baru ini.  

McLaren mengesahkan mereka kini dalam proses penyusunan operasi teknikal sebagai sebahagian daripada program mengembalikan pasukan berkenaan ke landasan kejayaan. 

Sebelum ini, BBC melaporkan Gross yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap bahagian casis telah digugurkan daripada tanggungjawab berkenaan, sebelum Reuters mendapatkan pengesahan secara lebih terperinci.

Untuk rekod Goss adalah salah seorang daripada tiga jurutera kanan pasukan McLaren bersama Ketua Bahagian Aerodinamik, Peter Prodromou dan Ketua Pegawai bahagian Kejuruteraan, Matt Morris.

"Kami akan memberi butiran lebih lanjut mengenai isu ini dalam masa terdekat. Sehingga tempoh berkenaan kami tidak akan memberikan sebarang kenyataan lanjut," katanya.

McLaren tidak pernah menang sejak tahun 2012 dan menamatkan perlumpaan di kedudukan kesembilan daripada 10 pasukan F1, pada musim lalu.

McLaren mengambil keputusan drastik untuk beralih menggunakan kuasa enjin Renault akhir tahun lalu – enjin sama yang digunakan oleh pasukan Red Bull ketika menang tiga perlumbaan pada 2017.

McLaren kini menduduki tangga keempat dengan perbezaan tiga mata berbanding Renault dan 27 mata di belakang pendahulu musim 2018, Red Bull yang baharu saja muncul juara di GP China menerusi pelumba Australia, Daniel Ricciardo, dua minggu lalu. – REUTERS

Disiarkan pada: April 27, 2018 @ 3:02am
d