arena

Pemilik Fulham nak beli Wembley

Oleh AFP

PERSATUAN Bolasepak Inggeris (FA Inggeris) menerima tawaran untuk membeli Stadium Wembley yang memungkinkan sebuah pasukan NFL untuk berpangkalan di London.

Shahid Khan, yang memiliki kelab Liga Kejuaraan Fulham dan pasukan NFL, Jacksonville Jaguars, dikatakan membuat bidaan £500 juta (RM2.72 bilion) untuk membeli stadium nasional itu dan berharap pembelian dapat disempurnakan dalam tempoh tiga bulan.

Menurut laporan Evening Standard, Khan sudah mencapai persetujuan Ketua Eksekutif FA Martin Glenn untuk memindahkan pemilikan Wembley buat kali pertama kepada pelabur asing.

Tawaran mengejutkan itu yang bakal menyaksikan Khan membenarkan FA terus menguasai keuntungan sekitar £300 juta (RM1.63 bilion) dibuat di depan lembaga badan induk perlawanan domestik itu hari ini.

“Kami boleh mengesahkan bahawa FA menerima tawaran untuk membeli Stadium Wembley,” demikian menurut kenyataan FA.

Wembley yang mempunyai kapasiti 90,000 penonton, dibuka semula pada 2007, selepas gelanggang utama skuad bola sepak Inggeris itu dibina semula selama tujuh tahun dengan kos £757 juta (RM4.12 bilion).

Khan adalah jutawan Amerika Syarikat kelahiran Pakistan yang menjana kekayaan menerusi perniagaan peralatan kereta.

“Perlawanan Jaguars di Wembley penting untuk memastikan kestabilan kewangan Jaguars di Jacksonville, iaitu antara pasaran terkecil di NFL,” kata Khan.

“Sekiranya saya menunjukkan minat memiliki Stadium Wembley, ia akan melindungi kedudukan Jaguars di London ketika pasukan NFL lain juga difahamkan menunjukkan minat terhadap bandar raya hebat ini.

“Dari perspektif FA, mereka mahu mengekalkan aset penting iaitu perlawanan bola sepak Inggeris dan mereka juga mempunyai wang untuk pelaburan hebat untuk peringkat akar umbi dan padang bola sepak.”

Disiarkan pada: April 27, 2018 @ 9:07am
d