arena

Salah baiki 'kepincangan' Liverpool

Oleh AFP

KEPINTARAN Mohamed Salah berjaya mengalihkan perhatian daripada kepincangan Liverpool di bahagian tengah dalam misi kelab itu  menamatkan musim ini dengan penuh bergaya.

Skuad Juergen Klopp menanti kunjungan Stoke City dalam aksi Liga Perdana Inggeris esok dengan keyakinan tinggi selepas kemenangan hebat 5-2 ke atas Roma dalam perlawanan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara awal pagi Rabu lalu.

Salah mempamerkan aksi memukau ke atas kelab lamanya, menjaringkan dua gol dan membantu dua jaringan untuk mengumpul 43 jaringan musim ini.

Dia hanya memerlukan empat gol lagi untuk menyamai rekod Ian Rush bagi jaringan terbanyak pada satu musim di Liverpool yang dilakukannya pada 1983-84.

Biarpun namanya terus menjadi topik perbincangan selepas perlawanan itu di mana pemain Mesir itu mampu menjadi pencabar anugerah Ballon d’Or, wujud kebimbangan mengenai kecederaan Alex Oxlade Chamberlain yang mungkin memberi kesan terhadap impian Liverpool.

Pemain England itu akan terlepas aksi Piala Dunia selepas mengalami kecederaan ligamen lutut ketika berlanggar dengan Aleksandar Kolarov, dan ketiadaannya mula meresahkan Klopp.

Liverpool tidak mempunyai banyak pilihan di bahagian tengah selepas Emre Can mengalami kecederaan belakang dan Adam Lallana masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring.

Pemain tengah senior yang dimiliki Klopp ketika ini adalah tiga pemain yang beraksi dalam perlawanan Rabu lalu iaitu Jordan Henderson, Georginio Wijnaldum dan James Milner dan dia tidak mahu kehilangan mereka akibat kecederaan sebelum perlawanan kedua menentang Roma di Itali awal pagi Khamis.

Namun pengurus itu hanya mempunyai dua pilihan jika mahu merehatkan mana-mana pemainnya ketika menentang Stoke, sama ada menukar formasi 4-3-3 yang menjadi pilihannya musim ini atau pun menurunkan pemain muda dalam kesebelasan utama.

Liverpool pada masa sama tidak boleh menurunkan skuad yang terlalu lemah malam esok memandangkan mereka masih memerlukan lima mata maksimum daripada tiga perlawanan terakhir untuk memastikan penyudah empat tangga teratas dan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.  

Disiarkan pada: April 27, 2018 @ 12:09pm
d