arena

Alexis sedia hantar Arsenal masuk 'gua'

Oleh Manchester

PERTAHANAN Manchester United, Phil Jones percaya Alexis Sanchez akan menangani pertemuan kali pertama berdepan bekas kelabnya, Arsenal pada Ahad ini, dengan sebaik mungkin.

Bintang Chile itu menjadi pemain kegemaran di Stadium Emirates, tetapi memilih untuk berhijrah ke Manchester pada Januari lalu, dengan Henrikh Mikhitaryan sebaliknya menyertai The Gunners dalam perjanjian pertukaran pemain itu.

Alexis memainkan watak penting dalam kemenangan separuh akhir Piala FA ke atas Tottenham di Wembley minggu lalu, meledak gol tandukan pembukaan dan menjadi kunci yang menghasilkan gol kemenangan Ander Herrera, dan dia sekali lagi dijangka menyinar apabila bertemu bekas majikannya.

Apabila ditanya MUTV jika ia akan menjadi perlawanan aneh untuk Alexis, rakan sepasukannya. Jones membalas: “Tidak banyak bezanya di laman sendiri. Saya fikir jika bertandang ke Emirates, mungkin ia berbeza kerana dia akan mengingati kenangan lamanya selain begitu dekat dengan penyokong.

“Tetapi perlawanan ini di Old Trafford, ia sedikit berbeza dan dia pasti mempunyai insentif tambahan untuk menghukum bekas pasukannya itu.”

Jones turut merasakan Arsene Wenger kali ini akan dihargai oleh penyokong Old Trafford tatkala pengurus Arsenal itu bersiap untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kelab disertainya sejak 1996.

“Dia menjadi pengurus yang luar biasa,” tambah Jones. “Saya melihat pelbagai berita dimainkan di dada akhbar ketika ini dan ia adalah benar. Dia mengubah permainan bola sepak dan bagaimana pasukan perlu bermain.

“Dia berjaya mengemudi pasukan Arsenal yang hebat untuk tempoh beberapa tahun, saya membesar dengan melihatnya dan dia perlu dihormati dan berhak mendapat penghormatan hebat daripada kami.” - AGENSI

Disiarkan pada: April 27, 2018 @ 9:38pm
d