arena

Blues terdesak buru slot Liga Juara-Juara

Oleh AFP

Swansea: Chelsea berpeluang untuk terus menekan Tottenham dalam perebutan tiket ke Liga Juara-Juara apabila bertandang ke Swansea dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL), malam ini.

Skuad kendalian Antonio Conte tiba ke Stadium Liberty dalam moral terbaik selepas berjaya menyambar tiket final Piala FA menentang Manchester United hasil kejayaan menumbangkan Southampton.

Hanya Tottenham di tangga keempat liga kini menjadi pemisah Chelsea dengan tiket Liga Juara-Juara, sekali gus menjadikan aksi di selatan Wales itu penting buat juara bertahan itu.

Chelsea ketinggalan lima mata di belakang Spurs, namun jiran tetangga utara London itu tidak beraksi sehingga aksi bertemu Watford Isnin ini, jadi ia bermakna The Blues berpeluang merapatkan jurang untuk sekurang-kurangnya bagi tempoh 48 jam.

Malah, memenangi Piala FA dan meraih kelompok empat terbaik EPL mungkin menjadi satu-satunya cara terbaik buat Chelsea menutup kempen goyah mereka musim ini

Namun, ia mungkin tidak cukup untuk menyelamatkan Conte di tengah-tengah laporan yang mengatakan pemilik Chelsea, Roman Abramovich sedia berpisah dengannya gara-gara ketegangan yang timbul disebabkan kegagalan mereka memenuhi permintaannya pada jendela perpindahan pemain.

Conte kelihatan tidak gembira dengan kehidupan di kota London sejak kebelakangan ini dan sentiasa bising mengenai kurangnya dana untuk berbelanja dalam jendela perpindahan - satu-satunya perkara yang tidak pernah menjadi masalah di awal kehadiran Abramovich.

Lebih mengeruhkan keadaan, pihak pengurusan Chelsea juga difahamkan sudah menyenarai pendek beberapa nama jurulatih baru antaranya Maurizio Sarri (Napoli), Massimiliano Allegri (Juventus) dan Leonardo Jardim (Monaco).

Bekas pengurus Barcelona, Luis Enrique turut menjadi calon alternatif dan tidak memerlukan sebarang rundingan pampasan kerana dia adalah ejen bebas.

Disiarkan pada: April 28, 2018 @ 3:15am
d