arena

Presiden CBF digantung seumur hidup

Oleh Reuters

ZURICH: Presiden Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF), Marco Polo Del Nero digantung seumur hidup oleh Jawatankuasa Etika Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana rasuah. 

Menerusi kenyataan rasmi dikeluarkan FIFA, Del Nero sebelum ini disiasat kerana menerima rasuah apabila menggunakan kedudukannya untuk memberikan kontrak kepada syarikat media dan hak pemasaran dalam pelbagai kejohanan bola sepak. 

Dengan perbuatan itu, dia sudah melanggar etika peraturan mengenai rasuah, menawarkan dan menerima hadiah, kesetiaan, konflik kepentingan dan peraturan am, kata FIFA. 

Del Nero yang juga bekas ahli jawatankuasa eksekutif FIFA tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan reaksinya biarpun sebelum ini dia menafikan terbabit dengan dakwaan berkenaan. 

Dia antara beberapa pegawai bola sepak dan eksekutif pemasaran sukan yang disiasat kerana terbabit dengan rasuah pada 2015 oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Disiarkan pada: April 28, 2018 @ 3:58am
d