arena

Helang Merah tambat Penyu

Oleh Malik Muhamad

 

IMPIAN Terengganu FC (TFC) untuk mengutip tiga mata di laman sendiri musnah apabila diikat 1-1 oleh Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Bagaimanapun keputusan seri itu berjaya melonjakkan skuad kendalian Irfan  Bakti Abu Salim ke tangga kedua liga di belakang Johor Darul Ta'zim.

Skuad TFC yang kehilangan penyerang sensasinya, Kipre Tchetche bermula garang apabila melakukan percubaan sulung menerusi Bruno Suzuki pada minit pertama namun sepakan kencangnya dalam kotak penalti dapat dibaca penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.

Dua minit berselang, skuad Helang Merah yang mendapat sepakan percuma nyaris mendahului tapi penjaga gol skuad Penyu, Mohd Suffian Rahman lebih bersedia untuk menepis keluar bola sepakan Baddrol Bakhtiar.

Pemain pinjaman Terengganu FC II (TFC II),  Akanni Sunday Wasiu berpeluang mencetak nama sebagai penjaring gol tapi tandukkannya pada minit ke-12 berjaya ditepis.

Pada minit ke-43 pemain sayap skuad Penyu, J Partiban menggamatkan lebih 7,000 penyokong apabila bijak meloloskan diri hasil umpanan Suzuki sebelum merembat kencang jaringan pertama pasukannya.

Bersambung babak kedua, skuad Helang Merah mengeluarkan pemain importnya, Andik Vermansah dan memasukkan penyerang lincah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid.

Hasilnya pada minit ke-63 umpanan Akhyar kepada Sandro Da Silva yang melorongkan bola ke tengah berjaya disudahkan Baddrol yang mudah menolak masuk bola untuk mengikat kedudukan 1-1.

Selepas jaringan itu kedua-dua pasukan terus mengasak ke kubu lawan masing-masing namun ketumpulan penyudah menggagalkan usaha berkenaan hingga tamat perlawanan.

Disiarkan pada: April 28, 2018 @ 4:16am
d