arena

Momota ajar Chong Wei

Oleh Helmi Talkah

JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui mendapat pengajaran berguna di sebalik kekalahannya di tangan bintang muda Jepun, Kento Momota pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC), semalam.

Bekas pemain nombor satu dunia itu, berkata ada sesuatu yang dapat dipelajarinya selepas kekalahan itu bagi memastikan dia mampu kekal bersaing di peringkat tertinggi pada usia 36 tahun terutama apabila berdepan pemain muda.

“Ini adalah perkara biasa, adat perlawanan, ada menang dan ada kalah. Dia (Momota) bermain dengan baik dalam perlawanan itu.

“Memang bukan mudah untuk saya apabila berdepan pemain yang lebih muda seperti Momota dan ia sesuatu yang positif sebenarnya kerana ia kini cabaran untuk diri saya supaya terus fokus bagi kekal bersaing di peringkat tertinggi.

“Lagipun, saya pernah bertemunya sekali saja sebelum ini iaitu pada Seluruh England 2014. Ini kali pertama kami bertemu semula selepas empat tahun, jadi selepas ini saya sudah tahu apa yang perlu dilakukan apabila menentangnya pada masa akan datang,” kata Chong Wei yang pernah muncul juara Asia dua kali pada edisi 2006 dan 2016.

Chong Wei yang kini menghuni ranking ketujuh dunia, berkata dia kini mengalihkan fokus terhadap persiapan bagi menghadapi pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, Thailand bermula 20 hingga 27 Mei ini.

“Sebaik tiba di Kuala Lumpur nanti, saya akan terus menyertai kem latihan pusat skuad negara bagi menghadapi Piala Thomas. Kami mahu melakukan persiapan terbaik bagi beraksi di Bangkok nanti,” katanya.

Di Bangkok, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan, Denmark, Russia dan Algeria.

Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yakin Chong Wei akan kembali bangkit bagi mengetuai cabaran skuad negara di Bangkok dalam misi untuk sekurang-kurangnya mara sehingga separuh akhir.

“Saya yakin Chong Wei akan kembali bangkit kerana tahap permainan dan kecergasannya masih di peringkat tertinggi. Ia sudah terbukti ketika dia menentang pemain India, K Srikanth pada aksi suku akhir,” kata Norza.

Disiarkan pada: April 29, 2018 @ 1:36pm
d