arena

Pakistan, India 'penghalang' kilauan emas

Oleh Saiful Affendy Sapran

KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, Stephen Van Huizen mengakui selain India, Pakistan bakal menjadi penghalang utama barisan pemainnya untuk memenuhi sasaran memenangi pingat emas pada Sukan Asia di Indonesia, Ogos depan. 

Menurut Stephen, peningkatan ketara Pakistan yang satu ketika dulu dilihat tenggelam dan selepas mendapat khidmat jurulatih terkemuka, Roelant Oltmans ketika Sukan Komanwel Gold Coast, Australia baru-baru ini membuktikan mereka tidak boleh dipandang rendah lagi. 

"Jika anda lihat kepada pasukan yang bertanding di Sukan Asia, memang India ancaman utama kerana mereka berada pada ranking tertinggi di Asia.  

"Namun, di Sukan Komanwel lalu, Pakistan jelas mempamerkan peningkatan apabila seri empat perlawanan dan memenangi perlawanan terakhir di bawah bimbingan Oltmans. 

"Saya difahamkan mereka akan mendapat khidmat pakar untuk meningkatkan tahap kecergasan setiap pemain.  

"Sebab itu kami menjangkakan Pakistan bakal memberi cabaran di Sukan Asia. Selain itu, kita bakal berdepan cabaran Korea Selatan, Jepun dan China," katanya. 

Justeru, Stephen menganggap tempoh berbaki empat bulan sebelum bermulanya temasya itu cukup penting untuk barisan pemain Malaysian Tigers. 

"Tempoh itu adalah satu fasa serius untuk meningkatkan tahap fizikal setiap pemain. Selain latihan di padang, kami perlu pastikan pemain menghadiri sesi di gimnasium dan larian tiga kali seminggu. 

"Saya harap pada penghujung fasa, setiap pemain mempunyai tahap kecergasan tertinggi dan bersedia sepenuhnya untuk ke Sukan Asia," katanya. 

Malaysia meletakkan sasaran tinggi untuk memenangi pingat emas di temasya itu bagi membolehkan layak secara automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 sekali gus menamatkan kemarau gagal layak ke temasya terbesar dunia itu sejak membuat penampilan terakhir di Sydney 2000.

Disiarkan pada: April 29, 2018 @ 3:35pm
d