arena

KL 'makan jerat' Bos Gaurus

Oleh Azizan Hashim

PERAK menunjukkan kehebatannya pada babak kedua apabila membaham Kuala Lumpur 3-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, sebentar tadi.

Selepas mendahului 1-0 pada babak pertama, anak buah Mehmet Durakovic menambah derita The City Boys dengan dua lagi gol.

Dengan kemenangan itu, The Bos Gaurus melonjak ke kedudukan ketiga liga di belakang Johor Darul Ta’zim dan Pahang dengan 13 mata.

Pada perlawanan tadi, gandingan trio Brazil - Leandro Dos Santos, Wander Luiz, Gilmar Jose Da Silva masing-masing mencatat nama sebagai penjaring gol tuan rumah.

Leandro membuka jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-25.

Wander Luiz yang mensia-siakan beberapa peluang pada babak pertama, akhirnya menebus kehampaan apabila menyudahkan bola yang muntah dari tangkapan Khatul Anuar Md Jalil pada minit ke-65.

Tujuh minit kemudian, Gilmar menumpaskan Khatul menerusi usaha solo seterusnya melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah sekali gus menebus kekecewaan terkandas di suku akhir Piala FA minggu lalu.

Disiarkan pada: April 29, 2018 @ 11:22pm
d