arena

Roma impi satu lagi kebangkitan

Oleh AFP

MILAN: Jurulatih Roma, Eusebio Di Francesco yakin pasukannya mampu mencipta satu lagi kebangkitan dalam Liga Juara-Juara walaupun tewas 2-5 kepada Liverpool dalam aksi separuh akhir pertama, minggu lalu.

“Kami melakukan sesuatu yang luar biasa dalam Liga Juara-Juara musim ini,” kata Di Francesco kepada stesen TV Itali.

“Saya datang ke sini bersama mesej, pasukan ini mempunyai perjalanan baik dan kami tak mahu berhenti setakat ini. Kami yakin untuk bangkit dan itu sikap saya dalam kehidupan.

“Saya optimis dan yakin untuk meraikannya selepas tamat perlawanan dan mahu menggembirakan penyokong. Itu sebahagian tugas kami,” katanya.

Roma memerlukan kemenangan 3-0 di Stadio Olimpico pada awal pagi Khamis ini untuk layak ke Kiev, situasi sama berlaku pada aksi suku akhir selepas mereka berjaya mengatasi defisit 4-1 ketika menentang juara gergasi Sepanyol, Barcelona.

Liverpool menewaskan Roma melalui sepakan penalti untuk muncul juara Piala Eropah 1984 di Stadio Olimpico.

Di Francesco turut percaya perebutan takhta Serie A belum tamat walaupun Juventus mendahului empat mata di puncak selepas Napoli tewas 3-0 di tangan Fiorentina, awal pagi tadi.

Roma yang kini berada di tangga ketiga akan menentang Juventus dalam aksi paling getir mereka musim ini.

Disiarkan pada: April 30, 2018 @ 12:39pm
d