arena

Tok Gajah mahu pijak Penyu

Oleh Asrol Awang

SKUAD Pahang mahu menjadikan Terengganu FC (TFC) sebagai mangsa terbaru apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, malam esok.

Ini kerana kemenangan 2-0 ke atas Melaka United lalu, menaikkan semangat skuad kendalian Dollah Salleh untuk mengutip tiga mata.

Justeru, pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang mengharapkan pemainnya dapat mempamer displin tinggi untuk menewaskan skuad Penyu,” katanya

“Saya percaya semua pemain sudah bersedia untuk melakar kemenangan ke atas Terengganu seperti yang dilakukan ketika mengecewakan Melaka United.

“Biarpun tuan rumah dilihat memiliki kelebihan kerana beraksi di laman sendiri, tiada yang mustahil jika semua pemain mempunyai keazaman tinggi.

“Apa yang perlu dilakukan adalah menerapkan semangat juang tinggi serta menunjukkan tahap persefahaman sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.”

Mohammed Suffian berkata, sekiranya mahu merapatkan jurang mata dengan JDT, kemenangan adalah misi utama dan skuad itu perlu melakukan segalanya.

“Fokus utama semua pemain adalah mempamer displin tinggi dan tidak mempersia-siakan segala peluang bagi mengelak tuan rumah meraih mata,” katanya.

Selepas tujuh perlawanan, Pahang meraih 14 mata untuk berada di tangga kedua manakala JDT selesa dengan 18 mata selaku pendahulu.

Disiarkan pada: April 30, 2018 @ 10:44pm
d