arena

Hukuman WADA dah cukup padu

Oleh Azlan Muhammad Zain

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) tidak setuju dengan cadangan supaya bahan terlarang yang sering digunakan atlet angkat berat negara disenaraikan sebagai kesalahan jenayah dalam usaha menyelesaikan masalah doping yang menghantui sukan berkenaan.

Penolong Setiausaha Agung MOM, Datuk Sieh Kok Chi, berpendapat hukuman dan penggantungan yang digariskan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) sudah memadai buat atlet yang didapati positif menggunakan bahan terlarang berkenaan.

“Ia umpama hukuman berganda kepada atlet berkenaan. Pada pandangan saya, hukuman WADA iaitu penggantungan sehingga empat tahun sudah memadai, ia sudah cukup untuk “menguburkan” karier mereka,” katanya hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad yang mencadangkan agar menyenaraikan bahan terlarang yang sering digunakan atlet angkat berat sebagai dadah dalam kesalahan jenayah di negara ini.

Ia bagi membolehkan hukuman lebih keras dikenakan dan berpandangan ia salah satu cara untuk dipertimbangkan bagi menyelesaikan masalah doping dalam sukan berkenaan.

“Saya kurang pasti sekiranya ada negara yang mempraktikkan perkara ini, namun bagi saya hukuman WADA yang kini boleh mencecah kepada penggantungan empat tahun sudah mencukupi dan memberi pengajaran,” tambah Kok Chi.

Terbaru, seorang atlet angkat berat negara yang meraih pingat di Sukan Komanwel Gold Coast gagal ujian doping yang dijalankan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) dan kini menunggu keputusan sampel B.

Kes itu adalah rentetan kesalahan doping membabitkan atlet angkat berat selepas pemenang emas Glasgow 2014, Mohd Hafifi Mansor, Khairul Anuar Mohamad, Constantine Clement, Mohd Nasir Roslan selain pemenang tiga emas Sukan Komanwel 2002, Amirul Hamizan Ibrahim.

Disiarkan pada: April 30, 2018 @ 11:08pm
d