arena

Klopp cemas tiada Buvac

Oleh AFP

LONDON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menerima tamparan menjelang aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang AS Roma, awal pagi Khamis ini selepas pembantu utamanya, Zeljko Buvac terpaksa diketepikan atas masalah peribadi.

Ketika The Reds dijadual berdepan Roma di ibu negara Itali, kelab itu hari ini mengesahkan Buvas tidak akan bersama pasukan sehingga hujung saingan musim ini.

Klopp sebelum ini menyifatkan Buvas sebagai nadi utama barisan kejurulatihannya dan ketiadaan kali ini pastinya menjejaskan Liverpool dalam usaha untuk mempertahankan kemenangan 5-2 yang diraih pada aksi pertama.

Ahad lalu, spekulasi timbul apabila ada yang mengatakan jurulatih dari Bosnia itu sudah meletak jawatan tetapi Liverpool menafikan perkara berkenaan dan menegaskan Buvas masih pekerja kelab itu.

Buvas yang turut bersama Klopp di bangku simpanan ketika seri tanpa jaringan dengan Stoke City dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu adalah orang kanan paling dipercayai pengendali dari Jerman itu sejak 17 tahun lalu.

Kedua-duanya beraksi bersama ketika bermain di Mainz pada awal 1990-an dan mula bergandingan semula apabila Klopp menjadi pengurus pada 2001.

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 12:05am
d