arena

Debaran hati Iskandar

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin mengakui berdebar menanti pengumuman skuad ke Piala Thomas yang dijangka pada Khamis ini walaupun ramai pemerhati badminton yakin namanya bakal disenaraikan.

Menurut pemain berusia 26 tahun itu, dia sendiri masih belum tahu apa perancangan yang bakal direncanakan oleh ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek dan juga Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjelang kejohanan berkenaan.

“Mungkin pihak pengurusan akan mengambil pemain luar dan saya pun masih tidak mengetahui situasi sekarang. Saya berharap ada keputusan yang positif buat saya,” kata Zulkarnain ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara semalam.

Menurutnya, walaupun ada yang berpendapat tempatnya sudah terjamin dalam skuad berkenaan, baginya peluang masih lagi 50-50.

“Bagaimanapun, saya ada menunjukkan peningkatan prestasi tahun ini dan perlu lebih konsisten. Latihan untuk tahun ini juga sangat mencabar kerana awal pagi lagi perlu ada di dalam gelanggang.

“Sepanjang empat minggu ini juga latihan tertumpu kepada penyediaan kecergasan kerana saya hanya berlatih tanpa menyertai sebarang kejohanan luar,” kata pemain kelahiran Muar, Johor itu.

Dia yang pernah beraksi di Piala Thomas 2016 di Kunshan, China berharap mampu memperbaiki segala kelemahan sepanjang latihan di bulan April.

“Harap segala kelemahan saya berjaya diperbaiki dan pada masa sama saya juga tidak memikirkan mengenai naik turun ranking pemain kebangsaan kerana ia sama saja, sama ada perseorangan kedua, ketiga atau keempat.

“Sebelum ini pun ranking dunia saya berada di kedudukan 100 lebih jadi saya tidak harap apa-apa, cuma ada kejutan jika menggalas tanggungjawab selaku perseorangan ketiga,” katanya.

Seandainya tempat selaku perseorangan ketiga sah menjadi miliknya, Iskandar mengakui banyak lagi perbincangan perlu dilakukan bersama barisan kejurulatihan.

“Memang sukar walaupun diletakkan sebagai perseorangan ketiga, tidak kira siapa pun akan dipilih tapi jika diberi peluang saya harap mampu memberikan yang terbaik,” katanya yang selesa dilabel sebagai pemain bukan pilihan berbanding pemain perseorangan ketiga lain seperti Lin Dan (China), Kento Momota (Jepun), Hans-Kristian Solberg Vittinghus (Denmark) dan Tommy Sugiarto (Indonesia).

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 9:18am
d