arena

Yakin rekod 10 tahun akan lebur

Oleh Azlan Muhammad Zain

PELUMBA trek negara, Shah Firdaus Sahrom percaya rekod kebangsaan acara pecut berpasukan yang sudah mencecah 10 tahun akan dipecahkan pada Sukan Asia, Ogos nanti.

   Rekod yang dilakukan Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Mohd Rizal Tisin ketika Olimpik 2008 di Beijing dengan masa 44.725s masih kekal sehingga hari ini.

   Bagaimanapun, ia hampir dipecahkan pada Sukan Komanwel Gold Coast yang lalu menerusi gandingan Shah Firdaus, Muhammad Fadhil Zonis dan Muhammad Khairil Nizam Rasol dengan masa 44.760s.

  ‘‘Saya fikir jika kita menghantar barisan yang terbaik, ia boleh dipecahkan di Sukan Asia nanti. Azizulhasni dijangka turut menyertai acara ini namun semuanya bergantung kepada perancangan jurulatih (John Beasley).

   ‘‘Kita mempunyai beberapa pelumba pecut, jadi tiga peluang yang terbaik akan tersenarai bagi pecut berpasukan nanti,” jelasnya.

   Mengikut perancangan jurulatih dari Australia itu, beliau akan meletakkan tiga pelumba terbaiknya di Sukan Asia dalam misi meraih emas acara pecut berpasukan. 

   ‘‘Setakat ini latihan berjalan lancar dengan kami memberi fokus di gimnasium bagi membina otot dan kekuatan. Malah latihan di trek juga memberi fokus kepada aspek yang sama,” katanya.

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 1:25pm
d