arena

Keselamatan penyokong Reds terjamin

Oleh Agensi

POLIS Itali tampil memberi jaminan terhadap keselamatan penyokong Liverpool di Rome selagi mereka mematuhi segala undang-undang negara itu.

Ia selepas Liverpool berjaya menjual 5,000 tiket kepada penyokong The Reds untuk aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara berdepan kelab gergasi Itali, Roma awal pagi Khamis ini.

The Reds memenangi aksi pertama pada minggu lalu di Anfield dengan keputusan 5-2, yang dicemari insiden kekecohan sebelum perlawanan dan turut mencederakan penyokong tuan rumah, Sean Cox.

Komisioner Ketenteraman Awam Itali, Giorgio Luciani memaklumkan kepada BBC betapa ia menjadi satu cabaran yang hebat terhadap 1,200 pegawai polis yang bertugas sempena perlawanan tumpuan itu.

“Kami pernah menguruskan acara besar seperti ini. Ketika Maraton Rome, kami menguruskan perkhidmatan polis lebih daripada 1,000 orang. Bagi aksi jiran tetangga antara Roma dan Lazio pun sama.

“Kami boleh menjamin keselamatan penyokong Liverpool jika mereka menghormati peraturan dan menjadikan hari berkenaan sama seperti hari biasa.

“Kami tidak meminta sesuatu yang istimewa, hanya mahu mereka menghormati peraturan.”

Dua warga Itali berdepan pertuduhan atas serangan terhadap Cox, 53, yang mengalami kecederaan di kepala dan berada dalam keadaan kritikal.

Insiden berkenaan dikutuk sekeras-kerasnya oleh dua kelab berkenaan dan pihak berkuasa.

Luciani berkata: “Ia adalah satu episod yang mengerikan. Kami bekerjasama dengan polis England untuk menyelesaikan masalah ini dan membantu mereka, dan juga untuk perlawanan ini.”

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 4:08pm
d