arena

Kevin bidas dakwaan Kuantan FA

Oleh Aziman Rosdi

KETUA Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam menegaskan pihaknya sudah memberikan pertimbangan sewajarnya sebelum menghukum Kuantan FA dengan menyingkirkan kelab itu daripada saingan Liga Malaysia (Liga M), 21 April lalu.

Katanya, dakwaan pihak pengurusan Kuantan FA bahawa mereka tidak berlaku adil adalah tidak benar kerana tiada jaminan masalah kewangan skuad The Seagulls itu dapat diselesaikan dengan penajaan baharu.

“Kita sudah beri banyak masa dan pertimbangan kepada Kuantan FA untuk bertanding musim ini sehingga tindakan itu dipertikaikan ramai pihak kerana kami dikatakan tidak tegas.

“Dakwaan menyatakan MFL tidak adil dalam membuat keputusan adalah tidak benar kerana sudah banyak pertolongan diberikan selama ini. Masalah sekarang pihak pengurusan Kuantan FA sudah tidak boleh mengawal pegawai dan pemain mereka sehingga tidak menghadiri perlawanan maka itu satu kesalahan besar,” kata Kevin ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden Kuantan FA, Datuk Wan Solihin Wan Hassan menyelar tindakan drastik MFL kerana tidak memberi masa untuk mereka mendapatkan penaja baharu bagi ‘menghidupkan’ semula kelab itu yang dilanda masalah kewangan kritikal.

Beliau berkata, tindakan menyingkirkan Kuantan FA daripada Liga-M akan memburukkan lagi keadaan ketika mereka berdepan masalah tunggakan gaji pemain.

Kevin berkata, tiada jaminan boleh diberikan pengurusan Kuantan FA bahawa insiden kelab Liga Perdana itu tidak turun beraksi menentang PDRM di Stadium Shah Alam pada 15 April lalu tidak berulang kembali.

“Kuantan FA berkata mereka sudah mendapatkan penaja baharu, tapi kenyataan ini sudah diberikan pada awal tahun lagi, macam mana kita nak tahu dengan adanya penaja baharu itu, tidak akan berlaku lagi insiden sama pada perlawanan seterusnya?

“Jadi soal MFL tak beri cukup pertimbangan tak timbul dan saya percaya semua pihak faham situasi ini,” jelasnya.

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 5:27pm
d