arena

Terengganu rebah di laman sendiri

Oleh Malik Muhamad

SKUAD Terengganu FC (TFC) menangis di laman sendiri selepas tumpas 1-3 kepada Pahang dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, dekat sini sebentar tadi.

Skuad Pahang yang hadir dengan reputasi gah selepas berada di kedudukan kedua liga bermula garang dengan percubaan pertama melalui perancangnya, Muhamad Nor Azam Azih pada minit kelima yang mencemaskan benteng TFC.

Tersentak dengan percubaan bahaya pelawat itu, TFC mendapat sepakan percuma yang diambil Lee Tuck pada minit kelapan tapi tandukan penyerang pinjaman, Akanni Sunday Wasiu berjaya ditepis penjaga gol Helmi Eliza Elias.

Pada minit ke-19 skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu sekali lagi memperoleh peluang terbaik untuk meledak jaringan menerusi rembatan penyerang kelahiran Brazil, Bruno Suzuki dalam kotak penalti namun penjaga gol pelawat itu lebih bersedia untuk menepis keluar bola daripada menerjah jaring.

Penyerang kelahiran Brazil itu yang mendapat taraf kerakyatan Jepun sekali lagi memperolehi peluang untuk meledak jaringan melalui tandukan yang hanya sedikit melepasi palang gol sekali gus terselamat pintu gol skuad Tok Gajah.

Skuad Pahang yang hanya sesekali mengasak kubu pelawat tidak melepaskan peluang keemasan apabila Patrick Cruz bijak menyelinap masuk untuk meledak jaringan pendahuluan hasil lorongan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke -37.

Tiga minit sebelum tamat babak pertama, pemain sayap skuad Penyu, J Partiban harus menyalahkan diri sendiri apabila peluang terhidang di depan gol gagal diterjemahkan dengan jaringan.

Bersambung babak kedua skuad Tok Gajah semakin bernafsu apabila terus mengasak kubu tuan rumah dan  hampir menambah jaringan pada minit ke-47 dan minit ke-49 menerusi tonggak importnya Cruz dan Mohamadou Sumareh namun tersasar.

Usaha berterusan pasukan pelawat akhirnya membuahkan hasil apabila Cruz yang menerima hantaran Vathanaka Chan bijak memperdaya pertahanan tuan rumah untuk jaringan kedua pasukan dan peribadinya pada minit ke-52.

Pada minit ke-72  skuad TFC berjaya merapatkan kedudukan 1-2 apabila mendapat sepakan penalti selepas Mohd Kamal Azizi Mohd Zabri dijatuhkan dan sepakan yang  diambil pemain tengah, Tuck terus menerjah jaring.

Selepas jaringan itu skuad TFC berusaha memburu jaringan penyamaan namun kekentalan benteng pertahanan pelawat mengecewakan barisan pemain tuan rumah sebaliknya pemain gantian pelawat, Mohd Faisal Abdul Halim menambah derita skuad Penyu apabila meledak jaringan ketiga pada masa kecederaan.

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 11:31pm
d