arena

Roma, Di Francesco tagih magis Dzeko

JURULATIH AS Roma, Eusebio Di Francesco berkata dia bergantung harap kepada satu lagi ‘keajaiban’ daripada Edin Dzeko ketika bertemu Liverpool untuk mara ke final Liga Juara-Juara.

Ketinggalan 2-5 secara agregat susulan kekalahan pada aksi separuh akhir pertama di Anfield, minggu lalu, Roma perlu sekurang-kurangnya menjaringkan tiga gol di gelanggang sendiri, Stadium Olimpico pada aksi kedua, awal pagi Khamis ini.

Dzeko menjaringkan penting pada lewat perlawanan ketika mereka tewas 1-4 pada aksi pertama suku akhir kepada Barcelona sebelum membuka tirai jaringan yang menyaksikan Roma menang 3-0 pada aksi timbal balik.

Kemenangan menyaksikan kelab Itali itu mara ke peringkat empat terbaik menerusi peraturan jaringan di tempat lawan.

Penyerang Bosnia itu sekali lagi memberikan Roma talian hayat apabila meledak jaringan pada minit ke-81 di Anfield sebelum Diego Perotti menjaringkan gol kedua menerusi penalti.

“Pemain dengan kualiti sepertinya (Dzeko) perlu menjadi penentu seperti (Mohamed) Salah pada perlawanan pertama,” kata Di Francesco.

Bekas pemain Roma, Salah memusnahkan bekas kelabnya itu di Anfield apabila menjaringkan dua gol dan melakukan dua umpanan.

“Kami tidak boleh mengubah pasukan hanya kerananya (Salah) atau meletakkan tiga pemain untuk mengawalnya. Kami perlu bagus dalam meningkatkan tahap kecergasan, tidak terlalu banyak berfikir tetapi sentiasa ingat yang kami perlu menjaringkan tiga gol.

“Kami mendapat belas ihsan daripada Liverpool untuk 25 minit pertama dan ia tidak boleh berlaku. Kami mahu cuba dan melakukan sesuatu yang besar di stadium dengan 70,000 penonton.” - AFP

Disiarkan pada: May 2, 2018 @ 12:40am
d