arena

Real sekat hajat Bayern

Oleh Reuters

REAL Madrid melangkah ke pentas final ketiga berturut-turut Liga Juara-Juara selepas mengikat Bayern Munich 2-2 pada aksi separuh akhir kedua di gelanggang sendiri dan mara menerusi agregat 4-3, sebentar tadi.

Selepas meraih kemenangan 2-1 pada perlawanan pertama di Munich, minggu lalu, Real begitupun dikejutkan dengan jaringan pembukaan Bayern menerusi pertahanan, Joshua Kimmich seawal minit ketiga perlawanan.

Begitupun, tuan rumah kembali mengikat kedudukan menerusi Karim Benzema menerusi tandukan berpunca hantaran Marcelo pada minit ke-11.

Real kemudian mendahului permainan 2-1 selepas penjaga gol Bayern, Sven Ulreich melakukan kesilapan yang mudah dimanfaatkan Benzema pada awal babak kedua.

Pemain pinjaman Real ke Bayern, James Rodriguez kembali mengikat kedudukan apabila merembat masuk gol pada minit ke-63.

Sekali pun permainan tambah rancak dengan pelawat menguasai sebahagian besar perlawanan, tiada tambahan jaringan dapat disaksikan sehingga wisel penamat ditiup.

Kemenangan ke atas Bayern menyaksikan Real menjadi pasukan pertama mara ke final buat musim ketiga berturut-turut selepas kali terakhir dilakukan oleh gergasi Itali, Juventus pada 1998.

Mereka dijadual bertemu sama ada kelab Inggeris, Liverpool atau kelab Itali, AS Roma di pentas final yang berlangsung di Kiev, Ukraine pada 26 Mei ini.

Pasukan terakhir yang menjadi pemenang Liga Juara-Juara untuk tiga tahun berturut-turut ialah Bayern yang dilakukan pada 1976.

Disiarkan pada: May 2, 2018 @ 5:11am
d