arena

City Boys perlu lebih konsisten

Oleh Rodly Fadly

Kuala Lumpur: Pasukan Kuala Lumpur perlu segera menamatkan aksi ‘yoyo’ bagi mengelak daripada terus kecewa apabila bertemu PKNS FC dalam saingan Liga Super di Stadium KLFA, Cheras, malam ini.

Jurulatih, Fabio Maciel berkata, skuad bimbingannya memiliki perwatakan sebagai pencabar utama, namun sering dikecewakan dengan aksi tidak konsisten seperti dipamerkan ketika tewas 0-3 kepada Perak di Ipoh, Ahad lalu.

“Kami memiliki skuad yang mantap serta mampu memberi cabaran seperti dibuktikan ketika menentang JDT (Johor Darul Ta’zim), Kedah, Selangor dan Pahang.

“Jika prestasi dalam keempat-empat perlawanan ini terutama ketika mengalahkan Selangor 3-0 pada suku akhir kedua Piala FA dijadikan ukuran, Kuala Lumpur sebenarnya memiliki kemampuan setara dengan pasukan elit lain.

“Tapi, masalahnya persembahan pemain tidak konsisten. Kami bermain seperti juara dalam satu perlawanan, tapi beraksi dengan buruk dalam perlawanan lain.

“Inilah yang berlaku ketika menentang Perak. Saya menjangkakan selepas menunjukkan semangat juang tinggi semasa mengalahkan Selangor, pemain dapat meneruskan momentum itu tapi ternyata ia tidak berlaku.

“Masalah inilah yang perlu kami atasi dengan segera jika tidak mahu terus tercicir dalam liga. Saya berharap pemain belajar daripada kesilapan dan tidak mengulanginya,” ujar Maciel.

Beliau berkata, pertembungan dengan PKNS satu lagi ujian getir kepada The City Boys kerana lawannya dianggap skuad sempurna serta lebih konsisten.

Kemampuan kelab bimbingan Datuk K Rajagobal itu layak ke separuh akhir Piala FA, di samping menduduki tangga kelima liga berbanding Kuala Lumpur di tangga ke-10 membuktikan hakikat itu.

Namun, Maciel yakin jika anak buahnya menunjukkan watak sebenar, PKNS mampu dijinakkan apatah lagi mereka akan beraksi di gelanggang sendiri dengan tiga mata menjadi sasaran.

Disiarkan pada: May 2, 2018 @ 10:09am
d