arena

Woods cuba set baru

Oleh AFP

Carolina Utara: Tiger Woods akan menggunakan peralatan terutamanya set iron baru pada Kejohanan Wells Fargo yang berlangsung di Caroline Utara minggu ini, kata pemenang kejuaraan utama sebanyak 14 kali itu, semalam.

Woods sudah mula menggunakan peralatan TaylorMade sejak beberapa bulan lalu dan merasakan ini adalah masanya untuk dia mengujinya di kejohanan sebenar.

“Fasa 1 iaitu menukar iron... sudah lengkap. Saya tidak sabar untuk memulakan aksi minggu ini,” katanya menerusi laman web sosial Twitter miliknya menjelang pusingan pertama di Charlotte, hari ini.

Pengumuman itu dibuat selepas hampir setahun Woods menandatangani kontrak dengan TaylorMade dan selepas persembahan kurang memberangsangkan di AS Masters bulan lalu.

Woods dilihat bergelut untuk membuat pukulan baik dengan iron lamanya dan hanya menamatkan saingan di kedudukan ke-32.

“Saya rasa pukulan pertama di kotak tee agak baik tetapi semua pukulan seterusnya menggunakan iron, langsung tidak memuaskan hati,” katanya selepas pusingan akhir di Lapangan Kebangsaan Augusta.

Woods yang akan beraksi buat kali ketujuh selepas pembedahan belakangnya, akan tampil di Quail Hollow bersama-sama Rory McIlroy, Justin Thomas dan juara Masters, Patrick Reed.

McIlroy dan Thomas menyimpan kenangan manis di Quail Hollow. McIlroy memenangi Jelajah PGA pertamanya di lapangan itu pada 2010 manakala Thomas pula menjuarai Kejohanan PGA di lapangan sama baru-baru ini.

“Sukar untuk membuat pukulan baik di Quail Hollow jika bola anda mendarat di rough terutamanya di sekitar green,” kata juara bertahan, Brian Harman.

Disiarkan pada: May 2, 2018 @ 12:32pm
d