arena

BA sokong hukuman BWF

Oleh Fabian Peter

BADMINTON Asia (BA) percaya keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menggantung pemain badminton profesional negara, Tan Chun Seang dan Zulfadli Zulkiffli kerana kesalahan mengatur perlawanan, adalah satu amaran keras buat penggiat sukan berkenaan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan badan sukan dunia itu hari ini, Chun Seang dikenakan penggantungan selama 15 tahun, manakala Zulfadli 20 tahun di bawah Kod Tatatertib BWF Mengatur Perlawanan, Pertaruhan dan Menentukan Keputusan Perlawanan.

Kedua-dua pemain berkenaan juga didenda sebanyak AS$15,000 (RM58,874) dan AS$25,000 (RM98,124) oleh Panel Etika Pendengaran BWF.

Keputusan dibuat selepas berlangsung sesi pendengaran di Singapura Februari lalu, di mana tiga ahli panel bebas mendapati Zulfadli terbabit dengan 27 pelanggaran Kod Tatatertib 2012 dan empat Kod Tatatertib 2016 Pertaruhan dan Mengatur Perlawanan, manakala Chun Seang 26 pelanggaran Kod Tatatertib 2012 Pertaruhan dan Mengatur Perlawanan.

Panel bebas juga mendapati kedua-dua pemain sudah lama terbabit dalam aktiviti mengatur perlawanan dan membabitkan beberapa kejohanan iaitu sejak tahun 2013, dengan Zulfadli dikatakan lebih lama membabitkan diri dalam gejala tidak sihat itu berbanding Chun Seang, dan bukti menunjukkan dia terbabit dalam menukar empat keputusan perlawanan.

Ketua Pegawai Operasi Badminton Asia, Kenny Goh percaya hukuman berkenaan adalah satu mesej yang jelas daripada BWF kepada semua penggiat sukan badminton,” kata Kenny.

“Mungkin ada yang mengatakan ia sangat keras tapi dari pandangan Badminton Asia, kita mengikuti perkembangan kes ini dengan sangat mendalam, jadi kita tahu bagaiamana untuk mengawalnya pada masa akan datang.

“Ini adalah kes sulung dan BWF melihat kesemuanya dengan lebih terperinci sebelum membuat keputusan.”

Ditanya adakah badan induk berkenaan akan membantu kedua-dua pemain dalam proses rayuan, Kenny berkata, semuanya bergantung kepada pemain itu sendiri dan mungkin ia membabitkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Bagaimanapun, saya percaya kedua-dua pemain harus melakukan rayuan dan mereka boleh melakukan sesuatu dalam proses berkenaan,” katanya.

Penggantungan bermula dari 12 Januari tahun ini - tarikh di mana kedua-dua pemain dikenakan penggantungan sementara oleh BWF.

Zulfadli dan Chun Seang mempunyai hak untuk membuat rayuan di bawah Klausa 14 Prosedur Kehakiman BWF.

Disiarkan pada: May 2, 2018 @ 4:12pm
d