arena

Kuala Lumpur sekat PKNS FC

Oleh Aziman Rosdi

KUALA LUMPUR kembali mendapat rentak kemenangan selepas mempamerkan prestasi tidak menentu dengan menewaskan PKNS FC 2-1 pada aksi Liga Super sebentar tadi.

Ia kemenangan ketiga buat skuad The City Boys di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras selepas kali terakhir meraih tiga mata penuh pada Mac lalu dengan mengatasi Kedah 4-3.

Selepas dicabar oleh jurulatih Fabio Maciel untuk bangkit selepas tewas 0-3 kepada Perak minggu lalu pemain Kuala Lumpur bermula baik dengan mendahului seawal minit ke-9 menerusi sepakan percuma Paulo Josue.

Pasukan pelawat bagaimanapun memperkemaskan permainan dan hampir mengikat kedudukan pada minit ke-29 namun bola sepakan Jonatan Acosta terkena tiang.

Gol PKNS akhirnya hadir pada minit ke-44 selepas pemain import dari Singapura, Faris Ramli menyempurnakan umpanan pemain gantian Safee Sali.

Namun kegembiraan anak buah Datuk K Rajagobal tidak bertahan lama apabila seminit kemudian penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula mudah menjaringkan gol susulan situasi kelam kabut di depan gawang PKNS.

Pada separuh masa kedua, De Paula hampir menambah gol selepas melepasi kawalan Zac Anderson namun rembatan pemain Brazil itu berjaya ditepis Mohd Shahril Sa'ari.

Bagaimanapun tiada gol berjaya dihasilkan selepas itu untuk kelebihan kekal buat Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: May 3, 2018 @ 12:50am
d