arena

Jiwa kental

Oleh Rodly Fadly

Kuala Lumpur: Faktor kepenatan menjadi punca prestasi FELDA United agak lesu dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini namun jurulatih, B Sathianathan lega mereka masih mampu mengekalkan rekod tanpa kalah dengan kemenangan 3-2 ke atas MIFA, kelmarin.

Sathia berkata, jadual Liga Perdana yang padat, berselang-seli pula dengan perlawanan Piala FA menyebabkan pemainnya keletihan dan mudah hilang fokus hingga nyaris pulang dari Stadium MBPJ dengan hanya satu mata apabila lawan melakukan kebangkitan pada babak kedua.

The Fighters memerlukan jaringan lewat permainan menerusi Hadin Azman pada minit ke-96 selepas MIFA memangkas kelebihan dua gol dimilikinya dalam tempoh dua minit pada babak kedua.

Kelab bimbingan Sathia mendahului melalui Thiago Augusto pada minit kelima dan Christie Jeyaseelan menggandakan kelebihan itu pada minit ke-33, namun MIFA bangkit menyamakan kedudukan menerusi Bae Beom Geun pada minit ke-47 dan L’iman Seydi (m-49).

“Kami mengawal keseluruhan permainan pada babak pertama tanpa memberi mereka peluang melakukan percubaan dan kami mampu menjaringkan dua gol.

“Tapi pada awal permainan separuh masa kedua, pemain mula hilang fokus serta melakukan kesilapan hingga dihukum dua jaringan pantas lawan.

“Begitupun, saya gembira pemain menunjukkan semangat juang tinggi untuk mencari gol kemenangan walaupun terpaksa menunggu hingga masa kecederaan untuk melakukannya.

“Pemain saya sebenarnya letih kerana mereka bermain terlalu banyak perlawanan. Bayangkan sepanjang bulan April, kami terpaksa mengharungi enam perlawanan iaitu empat Liga Perdana dan dua Piala FA.

“Semalam saya terpaksa merehatkan Gilberto, hanya memasukkan (Curran) Ferns pada babak kedua serta mengeluarkan Wan Zack (Haikal Wan Nor) kerana mereka terlalu kepenatan,” ujar Sathia.

FELDA kekal sebagai pendahulu Liga Perdana dengan 23 mata hasil tujuh kemenangan dan dua kali seri.

Mereka hanya memiliki tempoh rehat 48 jam sebelum berdepan pasukan tangga keempat, UiTM FC, esok.

Disiarkan pada: May 3, 2018 @ 10:38am
d