arena

KAFA tamatkan khidmat Apek

Oleh Attirmidzie Rahman

Kota Bharu: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengesahkan khidmat penjaga gol berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat ditamatkan bagi memberi laluan kepadanya menyertai Melaka United pada jendela perpindahan kedua musim ini.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, perkara itu diputuskan selepas Melaka United membuat tawaran kepada KAFA minggu lalu.

Malah, katanya Melaka United pasukan berpotensi besar buat pemain berusia 29 tahun itu yang lebih dikenali sebagai Apek untuk terus mengembangkan kariernya.

“Setakat ini bagi perkembangan perpindahan itu ia sudah 99 peratus diuruskan dan kami juga sudah menjawab maklum balas daripada Melaka yang mahukan khidmatnya.

“Rasanya pasukan (Melaka) berpotensi untuk Apek terus maju dan berada dalam kesebelasan utama.

“Walaupun keputusan ini menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan peminat namun keputusan ini diambil bagi memastikan The Red Warriors (TRW) mampu bersaing selain ia dinilai berdasarkan situasi yang dihadapi KAFA sekarang,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP semalam.

Sebelum ini, pemain kebangsaan itu bersama pemain tengah berpengalaman, Badhri Radzi difahamkan akan menamatkan jodoh mereka bersama Kelantan susulan mereka tiada dalam perancangan ketua jurulatih, Fajer Ebrahim.

Disiarkan pada: May 3, 2018 @ 11:11am
d