arena

'Kemboja pengacau'

Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya perlu berwaspada jika tidak mahu tragedi dua tahun lalu berulang kembali meskipun berjaya mengelak daripada diundi dalam maut bagi saingan Piala AFF pada November ini.

Selepas selesai majlis undian kejohanan edisi ke-12 di Jakarta, Indonesia semalam, skuad kendalian Tan Cheng Hoe diundi bersama juara 2008 Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos dalam Kumpulan A.

Ia seperti perlawanan ulangan peringkat kumpulan dua tahun lalu di Yangon apabila Harimau Malaya bimbingan Datuk Ong Kim Swee bertemu tiga pasukan terbabit kecuali Laos bagi saingan awal.

Justeru, Cheng Hoe yang dilantik mengambil alih tugas jurulatih Portugal, Nelo Vingada Disember tahun lalu mahu anak buahnya tidak memandang mudah keupayaan lawan selepas mereka terkandas di peringkat kumpulan.

“Ramai yang menyatakan peluang kita cerah kerana tidak diundi dalam kumpulan maut, tapi ini cuma di atas kertas. Kita tak boleh memandang mudah mana-mana pasukan. Saya percaya Vietnam adalah pasukan pilihan, malah Myanmar juga sudah layak ke separuh akhir sebelum ini.

“Begitu juga Laos dan Kemboja, mereka juga boleh berikan saingan. Pada saya Kemboja boleh jadi pasukan ‘pengacau’ dalam kumpulan ini juga. Kerana mereka ada pemain yang beraksi di Malaysia,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Berbanding Kumpulan A, saingan Kumpulan B dijangka lebih sengit dengan pertembungan juara bertahan Thailand dan naib juara dua tahun lalu Indonesia, selain Filipina, Singapura dan pemenang pusingan kelayakan antara Brunei dan Timor Leste.

Saingan kali ini berbeza apabila pihak penganjur menggunakan format dua aksi di tempat sendiri dan dua aksi tempat lawan bagi saingan awal.

Cheng Hoe yang menjadi penolong jurulatih kepada Datuk K Rajabobal ketika Harimau Malaya merangkul gelaran pertama 2010 berkata, anak buahnya perlu lebih bersedia untuk bersaing dalam format baru itu.

“Kita akan bertemu Laos dan Myanmar di tempat sendiri dan Vietnam dan Kemboja di tempat lawan, saya harap pemain akan bersedia dari segi mental dan fizikal kerana kita akan menempuh perjalanan keluar selepas bermain di tempat sendiri.

“Persiapan rapi akan dilakukan dan saya berharap, sekurang-kurangnya akan ada tiga perlawanan persahabatan sebelum Piala AFF bermula,” katanya.

Pada kejohanan 2016, juara lima kali Thailand menewaskan Indonesia menerusi agregat 3-2 pada final.

Bagi saingan tahun ini, kejohanan bola sepak terbesar di rantau ini akan bermula pada 8 November hingga 15 Disember, manakala pusingan kelayakan pada 3 dan 11 September.

Disiarkan pada: May 3, 2018 @ 11:28am
d