arena

'Piala FA saja tak cukup'

Oleh Reuters

MANCHESTER: Kejayaan menjulang Piala FA, bulan ini tidak membenarkan Manchester United mengiktiraf musim mereka sebagai berjaya, kata penjaga gol David De Gea.

Justeru, penjaga gol Sepanyol itu menggesa kelab itu mensasarkan ‘kejayaan yang lebih besar dan baik.’

De Gea beraksi baik pada musim ini apabila mengharungi 21 perlawanan tanpa bolos dalam semua kejohanan buat United, sekali gus memenangi anugerah Pemain Terbaik kelab buat kali keempat.

Prestasinya membantu United menghuni tangga kedua liga dan melangkah ke final Piala FA, tetapi pemain berusia 27 tahun itu percaya kejayaan menjulang trofi itu tidak cukup untuk menutup kekecewaan di pentas Eropah dan liga.

“Ia tidak mencukupi pada musim ini,” kata De Gea kepada Sky Sport.

“Cukup adil yang kami bertarung untuk mengekalkan kedudukan tangga kedua, tetapi kami tidak mencapai sasaran iaitu memenangi liga dan mengharungi kempen baik di Liga Juara-Juara.

“Jelas Piala FA amat penting dan kami akan cuba untuk memenanginya. Tetapi ia tidak cukup, kami adalah Manchester United dan perlu meletakkan sasaran lebih besar dan baik.”

De Gea turut menggesa rakan sepasukannya untuk meningkatkan permainan mereka.

“Musim depan adalah musim baharu dan kami perlu meningkat di beberapa bahagian.

“Bukan Manchester City saja yang akan mencabar kejuaraan pada musim depan, lima atau enam pasukan bersaing untuk memenanginya. Ia memerlukan kerja keras untuk berada di sana.”

Disiarkan pada: May 3, 2018 @ 1:20pm
d